Himpunan aman era Malaysia Baharu

Iklan
BEBERAPA minggu lepas, suatu perhimpunan besar-besaran telah berlangsung di tengah ibu kota.

Perhimpunan tersebut yang menzahirkan bantahan terhadap niat Kerajaan Persekutuan sebelum ini untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Walaupun dengan keputusan jemaah menteri untuk tidak meratifikasi konvensyen antarabangsa tersebut, penganjur perhimpunan iaitu pertubuhan bukan kerajaan UMMAH, yang disokong oleh pertubuhan-pertubuhan lain seperti parti politik Umno dan Pas telah meneruskan hasrat mereka untuk berhimpun pada 8 Disember lalu.

Jumlah sebenar peserta yang hadir tidak dapat ditentukan. Ada yang kata ratusan ribu, ada yang kata puluhan ribu, ada juga yang kata sejuta manusia telah turun pada hari itu.

Walau apa pun angkanya, yang penting begitu ramai rakyat Malaysia daripada seluruh pelosok negara hadir ke perhimpunan tersebut; perhimpunan jalanan pertama setelah terbentuknya kerajaan baharu selepas 9 Mei telah berlangsung dengan jayanya.

Apabila saya melihat gambar-gambar begitu ramai demonstran membanjiri Kuala Lumpur pada hari itu, tanpa apa halangan atau sekatan, dan dibantu oleh pihak berkuasa sebagai pemudah cara, saya berasa amat puas hati.

Walaupun tidak bersetuju dengan sebab mengapa mereka berhimpun, tetapi saya menghormati dan mahu hak mereka untuk berbuat demikian didukung.

Hak apa? Hak asasi manusia mereka untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Hak asasi manusia mereka untuk berhimpun dengan aman.

Kebebasan asasi seorang rakyat Malaysia untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mana-mana kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat kebebasan asasi tersebut.

Saya ada sedikit pengalaman sebagai peguam pemerhati semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, bagaimana di hadapan mata saya seorang demonstran yang berlari, tersungkur dan kemudian ditahan beberapa anggota polis semasa Bersih 2.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman sebagai peguam mereka yang ditahan polis semasa perhimpunan aman.

Saya ingat lagi, menunggu di hadapan Pulapol selama berjam-jam, untuk dibenarkan masuk berjumpa tahanan-tahanan ketika Bersih 3.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman membawa kes di mahkamah untuk menegakkan hak berhimpun dengan aman. Saya sendiri juga pernah menjadi seorang demonstran dalam perhimpunan aman.

Dalam sejarah negara Malaysia ini, perhimpunan jalanan sentiasa dihalang. Hak yang termaktub, bagaikan ilusi.

Ingat lagi, himpunan-himpunan jalanan mega sebelum ini? Bagaimana rakyat dihalang masuk ke Dataran Merdeka. Bagaimana individu-individu tertentu ditahan sebelum perhimpunan. Bagaimana amaran-amaran dikeluarkan dan demonstran ditohmah dan dicerca.

Bagaimana gas pemedih mata dan meriam air jadi sajian. Bagaimana para demonstran ditahan dan diangkut ke Pulapol. Bagaimana mereka yang ditahan, dilanjutkan reman.

Bagaimana mereka kemudian di dakwa di mahkamah.

Ingat lagi yang luka, yang rebah, yang naik dan turun mahkamah?

Peristiwa-peristiwa ini, pengorbanan-pengorbanan ini, telah sedikit sebanyak menyumbang kepada apa yang kita saksikan pada 8 Disember 2018.

Kejayaan suatu perhimpunan jalanan, dengan begitu ramai peserta di tengah ibu kota, tanpa halangan, sekatan atau tangkapan, adalah simbol kemenangan rakyat pada 9 Mei 2018. Inilah semangat Malaysia Baharu.

Malaysia Baharu bukan bermakna yang menang sahaja boleh menggunakan Dataran Merdeka. Malaysia Baharu adalah negara di mana yang tidak menang dan yang menentang, boleh juga berdemonstrasi tanpa halangan.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur