Putra selar himpunan tuntut pembebasan Wan Ji

Iklan
Ibrahim (baju kuning) ketika ditemui pemberita selepas hadir ke IPD Dang Wangi, hari ini, membuat laporan berhubung himpunan di hadapan Penjara Kajang.

KUALA LUMPUR - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyelar himpunan di hadapan Penjara Kajang oleh sekumpulan aktivis bagi menuntut pembebasan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan aktivis itu dilihat seolah menghina keputusan mahkamah dan Institusi Raja-Raja Melayu selepas apa yang dilakukan Wan Ji.

Iklan
Iklan

"Kumpulan aktivis itu mengeluarkan kenyataan bersifat jenayah dengan menghina Mahkamah Shah Alam yang telah membuat keputusan memenjarakan Wan Ji atas kesalahan di bawah Akta Hasutan.

"Sokongan terhadap Wan Ji ini juga seperti menghina Raja-Raja Melayu kerana dia (Wan Ji) disabitkan salah menghina Sultan Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Iklan

Ibrahim berkata, aktivis ini juga melakukan kesalahan menghasut apabila mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 selain memperlekehkan akta tersebut.

Tambahnya, beliau percaya itu adalah satu gerakan subversif yang terancang bagi menjayakan rancangan Wan Ji untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.

Iklan

"Kita ambil serius perkara ini kerana mahu keamanan negara terjamin. Kita bukan kumpulan retorik, kita golongan yang bertindak dan telah dibuktikan hari ini dengan hadirnya kami membuat laporan polis," katanya.

Tegasnya, beliau gesa polis ambil tindakan dan segera menyiasat perkara ini.

Dalam himpunan kira-kira jam 8.40 malam semalam, kira-kira 30 orang berkumpul dengan memegang lilin putih sambil melaungkan, 'Bebas Wan Ji!' dan 'Mansuh Akta Hasutan'.

Kelmarin, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.