Didikan secara holistik elak kes rogol

Iklan
Dr Hafidzah Mustakim

SHAH ALAM - Ibu bapa seharusnya memainkan peranan mendidik anak secara holistik termasuk menerapkan pendidikan agama dan seksualiti.

Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (Mawar) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Hafidzah Mustakim berkata, ibu bapa perlu mengambil berat perkembangan anak lelaki dan perempuan selain memberikan panduan cara menangani cabaran gajet dan video dalam talian.

Iklan
Iklan

"Prinsip tundukkan pandangan dan jaga kemaluan perlu diterapkan pada peringkat umur bersesuaian, selain memantau penggunaan telefon pintar anak-anak agar tidak terjebak dengan unsur bahan lucah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Hafidzah, kawalan terhadap bahan lucah atas talian perlu diperketatkan melalui pelbagai cara termasuk penggubalan akta dan perundangan.

Iklan

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes murid tahun 6 yang direman kerana disyaki merogol kanak-kanak berusia empat tahun yang diasuh ibunya di Batu Gajah, Perak baru-baru ini.

"Sedih, apabila kejadian jenayah seksual ini berlaku dalam masyarakat. Paling parah, apabila mangsa dan pemangsa adalah dalam kalangan kanak-kanak. Mereka masih terlalu mentah.

Iklan

"Saya zahirkan belas kasihan kepada kedua-dua mereka. Pemangsa berusia 12 tahun adalah mangsa keadaan kerana sudah terdedah kepada gajet dan video lucah pada usia sebegitu sehingga mengakibatkan perlakuan seksual jijik di luar kawalan akal yang waras,”jelasnya.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang dan Sosial Mawar-Yadim, Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak lelaki yang didakwa merogol perlu melalui proses kaunseling dan rehab dengan segera.

Katanya, tumpuan utama adalah melindungi kedua-dua kanak-kanak tersebut, kerana itu perlu ada teguran keras bahawa kedua-dua kanak-kanak itu mesti dilindungi mengikut undang-undang.

"Akta Kanak-kanak 2001 sangat penting untuk disebut bagi memastikan komitmen semua pihak melindungi kanak-kanak itu terus dipertingkatkan.

"Kanak-kanak yang didakwa merogol adalah kanak-kanak yang di bawah undang-undang tidak boleh dicaj merogol kerana undang-undang memperuntukkan kanak-kanak lelaki di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan kesalahan rogol,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya menekankan pengetahuan tentang kepentingan Literasi Kesihatan Reproduktif.

"Pendekatan yang perlu diambil dalam kes ini adalah pendekatan restoratif dan bukan punitif. Dalam kes kanak-kanak, tanggung jawab dan kecuaian itu perlu dikenakan ke atas ke atas golongan dewasa.

"Pelaku sebenar adalah keluarga dan golongan dewasa, kecuaian mereka telah menyebabkan kanak-kanak ini terdedah dengan kandungan seksual,” katanya.