'Jangan runtuhkan gunung kita'

Iklan

GENAP 400 hari Pakatan Harapan (PH) berkuasa, lebih RM20 bilion aset negara telah dijual. Secara purata, setiap hari sebanyak RM51 juta aset negara dijual, bersamaan dengan RM2.1 juta aset negara terjual setiap jam di bawah Pakatan.

Kesemua aset ini termasuklah sebahagian pegangan dalam IHH Berhad (RM8.42 bilion), Sapura Upstream (RM3.7 bilion), Acibadem Sigort (RM1.25 bilion), Telco M1 (RM1.65 bilion), saham TNB (RM1.05 bilion), Boustead Plantation (RM1.2 bilion), Axiata Digital (RM0.579 bilion), BDO Unibank (RM0.415 bilion), CIMB (RM0.364 bilion), Hotel Royale Chulan (RM0.197 bilion) dan juga bangunan Konsulat di Hong Kong yang telah pun mempunyai pembeli dari China (RM1.6 bilion).

Iklan
Iklan

Tidak cukup dengan kadar itu, terbaru portal perniagaan terkemuka The Edge Markets melaporkan bahawa Pakatan kini merancang untuk terus menjual aset-aset Khazanah iaitu UEM Sunrise, UEM Edgenta, UEM Builders, Cement Industries of Malaysia (CIMA), Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dan juga pegangan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) serta Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Malah, perkembangan itu selari kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pertemuan beliau dengan pelabur dari British dalam satu dialog perniagaan anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Majlis Perniagaan United Kingdom-Asean (UKABC) dan Maybank baru-baru ini.

Iklan

Secara terbuka Dr Mahathir mengakui bahawa"Saya berminat untuk menjual beberapa aset sebagai usaha untuk meraih pendapatan. Kita ada banyak aset, kita ada tanah, syarikat milik kerajaan, fasiliti, institusi yang dimiliki kerajaan dan ada di antara aset-aset ini yang sedang kita pertimbangkan."

Tidak cukup dengan langkah penjualan aset, semalam kita dikejutkan pula dengan pengumuman bahawa Khazanah Nasional telah melantik dua ahli lembaga pengarah baharu dari China iaitu Prof Xiao’ou Tang dan Lau Seng Yee.

Iklan

Profesor Xiao’ou Tang ialah Pengasas SenseTime dan pensyarah di Chinese University of Hong Kong. Lau Seng Yee pula ialah Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Pengerusi Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan Tencent Holding Company Limited di China.

Pelantikan Prof Xiao’ou Tang dilihat susulan daripada lawatan Dr Mahathir ke ibu pejabat SenseTime di Beijing sebelum ini.

Untuk rekod, SenseTime sebelum ini bekerjasama dengan syarikat G3 Global Bhd dan juga China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC) untuk menubuhkan taman kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Malaysia dengan pelaburan sebanyak AS$1 bilion (RM4.14 bilion).

Secara ringkasnya, kerajaan PH bukan sahaja bertindak menjual aset negara secara besar-besaran, tetapi juga melantik pihak asing yang berpengaruh dari kuasa besar ke posisi yang cukup strategik dalam badan pelaburan dan pembangunan ekonomi negara.

Ideologi ekonomi neoliberal

Dari perspektif geopolitik, kedua-dua langkah ini tidak strategik untuk kepentingan negara dalam jangka masa panjang. Seperti mana amaran para sarjana seperti Profesor John Ikenberry (Princeton University), Profesor David Lake (University of California), Profesor Michael Mastanduno (Dartmouth College), Profesor Peter Katzenstein (Cornell University), dan juga Profesor Stephen Krasner (Stanford University), negara bukan kuasa besar (seperti kita) perlu berusaha untuk meningkatkan internal mobilization dan juga external extraction.

Internal mobilization bermaksud the creation of wealth and an investment in power (penciptaan kekayaan dan pelaburan untuk membina kuasa) manakala external extraction pula ialah state efforts to accumulate resources from outside its borders that can be used in achieving domestic objectives (usaha kerajaan untuk mengumpul sumber/pendapatan dari luar sempadannya yang boleh digunakan bagi mencapai objektif domestik).

Sebaliknya, langkah kerajaan PH dipandu ideologi ekonomi neoliberal yang menitikberatkan pengurangan tanggungjawab dan saiz kerajaan – termasuklah alasan mengurangkan hutang yang sebenarnya tidak menjanjikan kemakmuran – sama sekali tidak mengambil kira kepentingan strategik negara untuk jangka masa panjang.

Kerajaan PH perlu segera menghentikan amalan penjualan aset-aset negara dan menyemak kembali pelantikan warga asing ke posisi strategik seperti di Khazanah.

Ingatlah pesanan peribahasa Melayu berikut:

‘Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali’.