Mayat lelaki dibaham buaya ditemukan di Miri

Iklan

MIRI - Seorang nelayan yang sedang mencari ketam menemui mayat seorang lelaki hampir reput diheret seekor buaya di sekitar kawasan Sungai Pabong di sini pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, ketika kejadian nelayan tersebut yang berada di dalam perahu bersama adik lelakinya cuba mendekati buaya berkenaan dan mendapati mayat lelaki itu sedang dibaham buaya dan diheret ke lokasi lain.

Iklan
Iklan

"Nelayan itu telah meminta bantuan nelayan lain untuk mencari mayat itu dan pada 1.30 petang semalam mayat itu dijumpai di kawasan Sungai Suai bersama dengan buaya," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Meng Seah berkata, nelayan itu menghalau buaya berkenaan dan kemudian mengikat serta menarik mayat mangsa menggunakan tali ke tebing berdekatan Jambatan Suai.

Iklan

"Polis telah membuat pemeriksaan awal ke atas mayat di tebing sungai itu dan mendapati mayat tersebut adalah seorang lelaki dewasa tetapi identiti tidak dapat disahkan kerana tiada pengenalan diri ditemui dalam pakaian mangsa," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan tersebut juga mendapati tidak ada kecederaan yang ada kaitan dengan elemen jenayah pada mayat yang memakai seluar panjang hitam dan tali pinggang hitam itu.

Iklan

Menurutnya, terdapat kesan koyakan seperti gigitan buaya pada mayat berkenaan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, proses pengecaman mayat oleh keluarga yang melaporkan kehilangan seorang anggota keluarga lelaki sebelum ini tidak dapat dilakukan kerana mereka tidak dapat mengecam seluar serta tali pinggang yang dipakai mangsa.- Bernama