Jangan guna kekerasan melampau tangkap penjenayah

Iklan
Kumaran (tengah) mengingatkan orang ramai untuk tidak bertindak keterlaluan dan melampau ketika menahan penjenayah.
SHAH ALAM - Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan serius terhadap suspek yang ditangkap kerana disyaki melakukan jenayah.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumaran berkata, orang awam mempunyai hak untuk membantu pihak polis menangkap penjenayah, namun usah melampaui batas.

Menurutnya, orang awam tidak seharusnya menggunakan kekerasan melampau memukul suspek hingga cedera serius atau menyebabkan kematian.

"Polis menasihatkan agar orang awam tidak bertindak keterlaluan ketika membuat tangkapan kerana mendatangkan kecederaan serius dan kematian adalah salah.

"Usah bertindak luar batasan. Hanya sekadar tindakan sewajarnya dan munasabah," katanya dalam Media Talk Bersama KJPJKK Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Tambah Kumaran, orang awam yang menahan suspek harus menyerahkan suspek ini kepada balai berdekatan atau terus menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis sentiasa menghargai bantuan masyarakat dalam usaha membantu pihak polis membanteras jenayah secara bersama.

Dalam pada itu, Kumaran turut memberitahu inisiatif dalam konteks pencegahan jenayah iaitu kolaborasi rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Polis Bantuan, skim rondaan sukarela (SRS) atau rukun tetangga, 1 Masjid 1 Polis, pegawai perhubungan sekolah (PPS) dan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

"Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober ini, sebanyak 4,077 rondaan bersama telah dijalankan khususnya di lokasi kerap berlaku jenayah. Bagi 1M1P pula, kita telah melantik seorang anggota sebagai pegawai perhubungan masjid di 412 buah masjid seluruh Selangor bagi mendapat maklum balas berkaitan jenayah dan sebagainya.

"Selain itu, polis telah melantik seramai 939 pegawai sebagai PPS sebagai perancangan tindakan pencegahan jenayah," katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah juga disaran menyalurkannya di info line Polis Selangor 012-6009999.