Daripada ICERD ke CPTPP

Iklan
KITA baru sahaja berhimpun menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD). Suatu kesepakatan jarang-jarang sekali dicapai antara sebuah kerajaan dan pembangkang. Alasannya ialah ICERD akan menjejaskan kepentingan status istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera.

Kini rakyat menjadi semakin peka betapa perjanjian antarabangsa, jika tidak diteliti dengan betul boleh mengadaikan kepentingan negara kita yang telah dibangun atas semangat kontrak sosial yang dapat bertahan sehingga hari ini.

Kini ada satu lagi perundingan antarabangsa yang sebenarnya jauh lebih bahaya dari ICERD. Ia adalah CPTPP iaitu Perjanjian Trans Pasifik Komprehensif dan Progresif. Ia merupakan versi baharu kepada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang telah terbantut apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan keluar dari perjanjian itu.

Dalam memeterai setiap perjanjian antarabangsa sama ada ditandatangani oleh Wisma Putra (Kementerian Luar Negara) atau MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), ia punya implikasi jika wakil perunding negara tidak cermat.

Pada abad ini, dunia dipenuhi dengan konflik kepentingan antara negara. Walaupun didakwa globalisasi tidak mengenal sempadan, akan tetapi pada hakikatnya setiap negara semakin memperketatkan sempadan dan menjaga kepentingan masing-masing. Kuasa dunia sanggup melancarkan perang dagang antara sesama sendiri dan merekayasa untuk meraih keuntungan semaksimum mungkin atas nama perdagangan bebas.

NGO di negara ini pernah mengerakkan kempen membantah perjanjian FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada 2005. Perjanjian bilateral (dua hala) itu adalah suatu percubaan Amerika Syarikat dengan kekuatan ekonominya serta didokong oleh sejumlah industri korporat untuk memeterai perjanjian perdagangan yang boleh menelan ekonomi Malaysia. Mujur akhirnya perjanjian itu tidak menjadi kenyataan setelah NGO melancarkan protes sehingga berdemo di Putrajaya.

Akan tetapi, oleh kerana Malaysia telah menjadi negara perdagangan dalam sistem dunia yang dirundingi melalui Organisasi Perdagangan Dunia (WTO), negara ini akan terus terdedah kepada perjanjian yang berat sebelah. Dalam keadaan dunia diolah dengan permainan di padang yang tidak sama rata, negara kecil dan masih membangun, sering menjadi mangsa manipulasi negara besar, biasanya melalui syarikat korporat gergasi dari negara tersebut.

Muncul Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) yang melibatkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, dan Amerika Syarikat telah dibantah oleh rakyat. Namun semua negara anggota telah menandatanganinya pada 4 Februari 2016. Walaupun rakyat juga bangkit ketika itu membantah dan mengadakan perhimpunan, namun kerajaan Malaysia tetap menandatanganinya.

Akan tetapi TPPA tidak diratifikasi dan tidak berkuatkuasa kerana Amerika Syarikat menarik diri pada Januari 2017, TPPA terhenti. Namun negara yang masih menjadi anggota perjanjian itu, pada Mei 2017, telah menggubal perjanjian yang baharu digelar CPTPP. Sebenarnya perjanjian itu mengambil hampir semua peruntukan dari TPPA. Pada Mac 2018 , 6 dari negara yang menganggotai CPTPP iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand dan Singapura telah meratifikasi perjanjian itu dan akan berkuasa di negara-negara tersebut pada 30 Disember 2018.

NGO sekali lagi mengambil inisiatif memberi pandangan kritikal terhadap perjanjian ini melalui gabungan yang digelar Bantah. Perjanjian CPTPP yang kononnya dikatakan perdagangan itu ternyata merupakan perjanjian yang merangkul semua aspek kedaulatan sesebuah negara. Ia kelihatan seolah perjanjian perdagangan tetapi sebenarnya lebih merangkum dari hanya perdagangan.

Mengikut mereka yang pro perjanjian itu Malaysia didesak supaya berkompromi demi meraih keuntungan perdagangan yang dikatakan lebih komprehensif dan progresif. Akan tetapi alasan Bantah ialah Malaysia masih lagi memerlukan pembangunan mengikut acuan sendiri, bukannya telunjuk asing. Perjanjian ini, seperti perjanjian sebelumnya iaitu TPPA, menjadi sangat kontroversi kerana wujud badan timbang tara yang menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur asing dan negara (ISDS).

Analisis data yang dilakukan oleh Bantah, menerusi maklumat yang dikumpulkan oleh Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), mendapati bahawa daripada 493 kes yang dibawa ke ISDS, hanya 26% yang diputuskan memihak kepada negara. Ringkasnya, tiga daripada empat kes yang difailkan oleh pelabur asing (hanya pelabur boleh membawa kes ke ISDS) membawa kemenangan kepada pelabur asing.

Apa yang merisaukan ialah melalui CPTPP, ruang untuk kerajaan menggubal polisi yang melindungi syarikat tempatan akan dihadkan. Malah ada kemungkinan polisi sedia ada perlu diubah atau dibatalkan kerana perlu diselaraskan dengan CPTPP bila ditandatangani dan diratifikasi.

Sekiranya CPTPP diratifikasi, dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum menerusi pelaburan dan perolehan yang dipimpin oleh kerajaan akan terbantut kerana ia boleh dianggap menyalahi undang-undang dalam perjanjian tersebut. Ini termasuk soal memberi layanan istimewa kepada syarikat bumiputera, untuk kuota khas, memberi keutamaan kepada tender oleh syarikat tempatan dan perbekalan. Isunya ialah pelabur asing dan pelabur tempatan mesti dilayan sama rata.

Antara mendapat sedikit keuntungan dengan mengadaikan kedaulatan negara, kita dipaksa untuk memilih. Sudah tentu keuntungan ekonomi betapa besar sekalipun tidak akan lebih berharga dari kedaulatan negara yang keramat dan tidak mungkin dikompromi. Apakah mereka yang berhimpun untuk membantah ICERD siap berhimpun lagi untuk membantah CPTPP?