Dron dan kedaulatan kita

Iklan

BERITA pemerolehan 12 dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai hampir RM80 juta dari Amerika Syarikat (AS) – secara percuma – telah menimbulkan cakap-cakap yang kurang enak dalam kalangan segelintir rakyat kita.

Di sebalik penegasan Kementerian Pertahanan bahawa pemerolehan tersebut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan Malaysia dan dibiayai sepenuhnya oleh AS, beberapa persoalan berikut terus berlegar dan perlu dijelaskan: objektif sebenar di sebalik ‘kemurahan hati’ kuasa dunia itu, impak timbal-balas daripada kita kepada AS susulan pemberian 12 dron percuma bernilai RM80 juta ini, serta keupayaan kita untuk memastikan aset-aset tersebut benar-benar ‘bebas daripada sebarang peranti perisikan’.

Iklan
Iklan

Pertamanya, rakyat harus tahu bahawa pemberian dron ini adalah sebahagian daripada program Maritime Security Initiative (MSI) oleh AS yang sememangnya ada menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan – termasuk Malaysia – bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

Seperti mana menurut laman rasmi Jabatan Pertahanan Amerika sendiri – khususnya Section 1263 South China Sea (SCS) Maritime Security Initiative (MSI) – matlamat utama program yang turut menyasarkan Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam itu adalah untuk melaksanakan peningkatan keupayaan negara rakan kongsi di rantau Laut China Selatan.

Iklan

Secara tersurat, pentingnya aset dron ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada Amerika itu boleh dibaca pada perenggan berikut dalam kenyataan Kementerian Pertahanan:"Membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim sementara Kementerian Pertahanan membuat pemerolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)”.

Tambah kenyataan itu, Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan intelligence (risikan), surveillance (pemantauan) dan reconnaissance (peninjauan) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.Aset

Iklan

Secara tersirat pula, langkah itu berkait secara langsung dengan reaksi Malaysia dan juga Amerika terhadap sikap China yang semakin hari semakin bermaharajalela di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa selain Malaysia, beberapa negara lain di rantau Laut China Selatan turut terlibat dengan program berkenaan di mana Indonesia dan Filipina masing-masing akan memperoleh lapan unit sementaran Vietnam enam unit.

Khusus dalam kes Malaysia, seperti mana menurut kenyataan Kementerian Pertahanan sendiri, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset buatan subsidiari Boeing, Insitu Inc, berkenaan secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022 di mana kumpulan pertama sebanyak Enam ScanEagle UAV dijangka diterima pada pertengahan November.

Pengumuman ini memang tiba tepat pada masanya iaitu beberapa minggu selepas kapal Pengawal Pantai China sekali lagi dikesan mencerobohi Zon Ekonomi Eksklusif negara.

Namun begitu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah bertindak mempersoalkan potensi risiko pemerolehan 12 dron itu tanpa melibatkan sebarang kos kepada negara. Menurut anggota jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan, tindakan kerajaan menerima dron itu seolah-olah Malaysia berkompromi dengan agenda imperialis Amerika.

Kenyataan PSM telah dikritik keras. Antaranya berpunca daripada hakikat bahawa ScanEagle ialah dron pengawasan dan bukanlah dron penyerang. Malah, hubungan pemerolehan aset ketenteraan Malaysia-AS telah berlangsung sejak sekian lama melalui Foreign Military Sales – pemerolehan dron itu bukanlah merupakan kali pertama aset AS diserahkan kepada kita.

Malah, bantuan terbesar diterima Malaysia daripada Amerika hingga kini ialah Second Line of Defense Megaports iaitu pemasangan sistem pengesanan senjata nuklear dan radioaktif di dua pelabuhan strategik negara: Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pengumuman itu juga tepat pada masanya, yakni sebagai isyarat kepada Beijing bahawa tidak seperti mana kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia pada Dialog Shangri-La di Singapura baru-baru ini, kita sebenarnya tidak akan selamanya sekadar pasrah melihat kapal pengawal pantai negara asing mencerobohi kedaulatan kita.*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)