Latheefa tidak lagi ahli PKR - Saifuddin

Iklan

PUTRAJAYA - Ibu Pejabat PKR sudah menerima surat pengunduran Latheefa Beebi Koya sebagai ahli parti itu, Isnin lalu, susulan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata surat tersebut melalui e-mel ditujukan kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

"Berhubung statusnya sekarang ketika saya memberi kenyataan ini, kami menganggap beliau bukan anggota parti," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Kompleks di Seri Perdana, di sini hari ini.

"Oleh kerana Anwar baru kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan Umrah, beliau tidak membaca e-mel tersebut," katanya.

Iklan

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pelantikan Latheefa dibuat mengikut saluran yang memenuhi keperluan perlembagaan.

"Beliau juga melepaskan keanggotaannya dalam PKR. Jadi pada saya beliau telah memenuhi syarat-syarat utama yang diperlukan," katanya yang juga Menteri Luar.

Iklan

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebihawal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020. - Bernama