Skuad memanah buru 'angin' di Terengganu

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Skuad memanah negara akan berlepas ke Kuala Terengganu esok, untuk menjalani latihan menjelang aksi di Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda dari 10 hingga 16 Jun ini.

Ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung berkata latihan akan dijalankan di padang Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) itu adalah simulasi kepada venue sebenar Kejohanan Dunia yang terletak berhampiran laut dengan suasana berangin dan sejuk.

Iklan
Iklan

Beliau berkata persediaan ke Kejohanan Dunia kali ini lebih rapi memandangkan kejohanan itu adalah peluang kepada pemanah negara memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Di Malaysia kita susah hendak cari tempat sejuk jadi kita cadang ke Terengganu selama 10 hari untuk cari tempat yang ada angin untuk tujuan latihan penyesuaian. Selepas itu kita akan balik ke Kuala Lumpur seminggu sebelum berlepas ke Belanda.

Iklan

Kita tidak mahu terlalu awal berada di Belanda kerana tidak mahu terlalu terdedah kepada cuaca sejuk. Sudah memadai latihan di sana membiasakan keadaan beraksi dalam suasana berangin dan kemudian kita terus turun untuk pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 untuk sukan memanah di sini hari ini.

Beliau berkata skuad negara akan berlepas ke Belanda pada 6 Jun iaitu pada Hari Raya kedua.

Iklan

"Atlet kita sudah biasa dengan kejohanan pada Hari Raya. Kita akan bercuti selepas Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

Dua belas pemanah negara akan menyertai Kejohanan Memanah Dunia, masing-masing terdiri daripada tiga pemanah dalam acara compound lelaki dan wanita serta recurve lelaki dan wanita.

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Datuk Abdul Hamid Hasan pula berkata sasaran di kejohanan dunia kali ini ialah mencari kelayakan dalam acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan berpasukan wanita dalam acara recurve.

"Hanya acara recurve dipertandingkan pada Sukan Olimpik. Kita sudah empat kali layak ke temasya itu (dalam acara lelaki) dan kali ini kita akan cuba layak untuk acara berpasukan wanita,” katanya.

Beliau berkata atlet yang tersenarai ke Kejohanan Dunia dalam acara recurve dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhamad Zarif Syahir (lelaki) manakala pemanah wanita pula diwakili Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil dan Loke Shin Hui.

Sementara acara compound pula terdiri daripada Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Syahrizan Jafar dalam acara lelaki manakala Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam dan Nur Aina Yasmine Halim (wanita).

"Untuk kelayakan acara berpasukan, lapan pasukan terbaik akan layak ke Sukan Olimpik, dan secara automatiknya, tiga pemanah dalam pasukan itu akan layak dalam acara individu.

"Kita akan cuba layak dalam acara berpasukan wanita dan juga acara bercampuran yang menyaksikan lima pasukan terbaik akan layak ke Olimpik,” katanya.

Untuk rekod, trio memanah negara terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin gagal ke suku akhir pada Sukan Olimpik Rio 2016 selepas tewas kepada Perancis 2-6 dalam pusingan penyingkiran acara recurve berpasukan.

Kekecewaan itu berterusan dalam acara recurve individu apabila Khairul Anuar tewas 4-6 kepada Florian Floto dari Jerman pada pusingan kedua, manakala Muhammad Akmal dan Hafiq tersingkir pada pusingan pertama.- Bernama