Ugut jangan undi PH: Armada pertikai keputusan kerajaan

Iklan
Muzzammil Ismail

SHAH ALAM - Armada Bersatu mempertikaikan keputusan kerajaan yang tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Abibullah Samsudin, susulan klip video menunjukkan beliau memberi amaran kepada kakitangannya supaya tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu.

Exconya, Muzzammil Ismail berkata, membebaskan individu tersebut adalah tindakan tidak wajar kerana isunya bukan sahaja melarang kakitangan mengundi secara demokrasi tetapi secara terang menyalahgunakan kuasa dan tidak jujur.

Iklan
Iklan

"Ini soal integriti dan dalam rakaman video tersebut dengan jelas beliau mengugut kakitangan Yapeim dengan menyatakan mereka yang tidak berpihak kepada BN adalah tidak layak bersama institusi itu.

"Persoalannya, dengan menyimpan individu yang tidak malu untuk berundur secara terhormat ini adakah ia sebahagian daripada pendekatan rahmatan lil alamin. Ini tidak lebih kepada melepaskan anjing tersepit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, tiada tindakan akan diambil terhadap Abibullah susulan klip video beliau memberi amaran kepada kakitangannya tidak mengundi PH pada PRU lalu.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan kebelakangan terhadap Abibullah atau penjawat awam lain atas kesetiaan politik mereka sebelum pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018.

Iklan

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, isu seperti bonus dan elaun melampau seperti yang dilaporkan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim yang baharu, Datuk Mohd Daud Bakar perlu diambil serius.

"Apa keistimewaan individu ini sehinggakan tiada calon lain yang lebih layak dan berwibawa untuk mengurustadbir Yapeim agar kembali kepada landasan sebenar.

"Saya mendesak siasatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu disegerakan," katanya.