Impak himpunan ICERD

Iklan

KENAPA perlu mengatakan himpunan ICERD adalah satu himpunan ketuanan Melayu? Adalah lebih mengejutkan himpunan ICERD ini dikaitkan dengan Israel.

Sepatutnya perlu diketahui bahawa himpunan ICERD ini memberikan empat implikasi kepada kerajaan PH yang memerintah negara ini.

Iklan
Iklan

Pertama, ia adalah satu kegagalan kerajaan PH dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti muhibah dan perpaduan di negara ini. Ketegangan kaum ini dicetuskan oleh menteri Kabinet PH apabila lebih memikirkan ratifikasi ICERD daripada keutamaan pembinaan keutuhan perpaduan negara ini.

Negara ini dimiliki bersama dan masing-masing perlu akur untuk mengorbankan kepentingan tertentu seperti yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan negara ini. Mahu tidak mahu, hak pribumi adalah hak rakyat negara ini dan kaum-kaum lain yang diberikan kewarganegaraan perlu menghormati hak pribumi negara ini.

Iklan

Kedua adalah kegagalan kerajaan PH untuk melaksanakan dasar Rahmah Lil-Aalamiin. Kenapa perlu persoalkan akhlak konsep Rahmah Lil-Aalamiin ke atas Pas dan Umno. Sedangkan banyak isu yang dikaitkan dengan kedudukan dan akidah umat Islam tidak diselesaikan secara serius.

Adakah kerajaan mengambil tahu akan berapa ramai umat Islam yang tidak lagi mengutamakan akidah sebaliknya lebih mengutamakan fahaman-fahaman sekularisme, liberalisme, ateisme, pluralisme dan berbagai-bagai mazhab yang sesat. Bagaimana pula dengan persoalan keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak muda yang mengunjungi tempat-tempat maksiat seperti rumah pelacuran, perjudian dan meminum arak.

Iklan

Ketiga, himpunan ICERD menunjukkan kerajaan PH gagal membawa satu harapan baharu kepada rakyat majoriti negara ini. Berbagai-bagai krisis yang berlaku sejak kerajaan PH mengambil alih kuasa tidak membawa satu perubahan kepada negara ini. Contohnya hal yang berkaitan dengan ekonomi. Ketidakstabilan nilai Ringgit berbanding nilai Baht Thailand, nilai Yuan China dan nilai Riyal Arab Saudi menunjukkan ketidakprihatinan kerajaan ke atas wang yang dialirkan keluar oleh majoriti negara ini.

Barangan Malaysia majoritinya dari Thailand dan China turut tergugat dan menyebabkan kerugian kepada rakyat negara ini.

Malahan kos perbelanjaan umat Islam di negara ini untuk umrah dan haji juga meningkat disebabkan kejatuhan nilai Ringgit.

Begitu juga dengan janji perubahan ke atas institusi kerajaan juga dilihat hanya untuk kepentingan tertentu.

Usaha mendakwa Najib, Rosmah, Ahmad Zahid dan lain-lain pemimpin terdahulu sememangnya bertujuan baik mengubah kepada corak yang betul.

Tetapi bukanlah kesemuanya adalah kewajiban kerajaan untuk berbuat demikian. Ini disebabkan masih tiada pemisahan kepentingan kuasa politik dalam pentadbiran awam negara.

Urusan pelantikan ketua-ketua organisasi masih lagi mengikut kerajaan terdahulu iaitu lantikan politik.

Malahan hal-hal yang bersangkutan dengan rasuah biarlah disiasat dan diadili oleh pihak SPRM dan mahkamah, janganlah digunakan sebagai modal politik yang tanpa penghujungnya.

Terutamanya bagi masyarakat akar umbi Melayu tindakan ini telah melahirkan kebosanan yang membuak-buak.

Ini disebabkan terdapat pemilihan terpilih dalam mendakwa pemimpin tertentu dalam hal yang berkaitan rasuah.

Sepatutnya usaha pembanterasan kes-kes rasuah perlu bermula dari tahun 1980-an dan bukannya hanya bermula dari 2009. Usaha ini seharusnya digunakan untuk jangka panjang.

Keempat, kerajaan PH perlu sedar bahawa kemenangan dalam PRU14 adalah kemenangan majoriti mudah dan bukannya majoriti dua pertiga.

Ini menggambarkan bahawa bukan semua rakyat Malaysia memilih PH tetapi disebabkan sentimen dan janji-janji manifesto PH yang menyebabkan kemenangan PH. Mahu tidak mahu, kerajaan PH perlu memikulkan satu tanggungjawab besar dalam menunaikan janjinya kepada rakyat. Bukannya mengalihkan sesuatu isu apabila sesuatu janji tidak dapat dilaksanakan.

Malahan pembongkaran kes-kes rasuah sepatutnya dilaksanakan oleh SPRM dan bukannya kerajaan.

Sebagai parti pemerintah tidak boleh lagi berfikiran seperti parti pembangkang. Sebaliknya perlu memikirkan bagaimana hendak menarik sokongan rakyat atas usaha menunaikan janji manifesto.

Sikap mendengar keluhan rakyat dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat lebih utama daripada mencari kesalahan-kesalahan kerajaan terdahulu. Tugasan tersebut perlu diberikan kepada organisasi awam yang telah diberikan amanah untuk usaha tersebut.

Akhir sekali, menuding jari atas kesilapan individu tertentu bukanlah satu jawapan yang ingin didengar oleh rakyat.

Rakyat ingin melihat apakah bentuk tindakan dan usaha kerajaan untuk menggerakkan agenda yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Malahan perlu diingatkan manfaat ini juga perlu diberikan kepada penjawat awam yang ada di antara mereka telah menyokong kemenangan PH dalam PRU14.

Sebenarnya kejayaan himpunan ICERD ini menunjukkan formula 3 matlamat dan 3 agenda Pas dan Umno telah mematangkan kedua-dua parti pasca PRU14.