Niaga hadapan emas ditutup tinggi, jejaki prestasi Comex

Iklan
Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat. - Foto hiasan 123RF

KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat, menjejaki prestasi semalaman niaga hadapan emas di bahagian Bursa Komoditi (Comex), Bursa New York Mercantile.

Harga emas meningkat sedikit pada Jumaat, yang secara mengejut berdaya tahan dalam menghadapi hasil lebih tinggi apabila dolar Amerika Syarikat (AS) turun sedikit daripada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Iklan
Iklan

Penganalisis berkata, walau bagaimanapun, prospek dolar AS kekal kukuh susulan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah lebih tinggi dan lebih panjang.

Pada penutupan dagangan, kontrak untuk September 2023 meningkat kepada AS$1,929.20 setiap auns troy daripada AS$1,924.90 ketika ditutup pada Khamis, manakala Oktober 2023 naik kepada AS$1,938.50 setiap auns troy daripada AS$1934.20 setiap auns troy semalam.

Iklan

November 2023, Disember 2023, Februari 2024 dan April 2024 masing-masing ditutup pada AS$1,946.50 setiap auns troy.

Jumlah dagangan susut kepada 28 lot daripada 58 lot semalam manakala minat terbuka berkurangan kepada 97 kontrak daripada 116 kontrak.

Iklan

Harga emas fizikal berada pada AS$1,915 setiap auns troy seperti yang diterbitkan menerusi penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 21 September, 2023. - Bernama