UMNO terus perjelas rasional kerjasama dengan DAP - Puad Zarkashi

Iklan
UMNO akan terus turun ke akar umbi bagi menerangkan rasional kerjasama parti itu dengan DAP seperti dilakukan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Gambar kecil: Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR - UMNO akan terus turun ke akar umbi bagi menerangkan rasional kerjasama parti itu dengan DAP seperti dilakukan di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut menegaskan MKT UMNO pada Rabu berpendirian bahawa parti berkenaan kekal bersama dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat malam ini (Rabu) juga banyak berbincang kesan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

"PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional menang tujuh daripada 11 PDM (pusat daerah mengundi) di Simpang Jeram dan 25 daripada 40 PDM di Parlimen Pulai," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Iklan

Pada 9 September lalu, calon PH-BN, Suhaizan Kayat menang di kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti undi sebanyak 18,641.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu memperoleh undi sebanyak 48,283 daripada 298 peti undi mengatasi dua pencabarnya.

Iklan

Pesaing terdekat iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar mendapat 28,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.

Sementara itu, calon PH, Nazri Abdul Rahman, memenangi kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.