SHAH ALAM – Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membayar denda RM50 juta didakwa sebagai ‘jarum halus’ UMNO untuk menghalalkan rasuah.
Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada UMNO sedang melazimkan budaya bahawa rasuah boleh dimaafkan apabila melibatkan pemimpin yang disokong.
“Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong?
“Dalam negara yang mahu membina budaya integriti, kesalahan rasuah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan niat atau populariti seseorang tetapi berdasarkan undang-undang dan prinsip akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi mengumpul RM50 juta untuk membantu bekas Presiden UMNO itu melunaskan denda yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat diterimanya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, kutipan tabung berkenaan sudah mencecah RM1 juta pada jam 9.30 pagi Sabtu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan.
Najib menjalani hukuman selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Ker Chean berkata, tindakan mengumpul dana itu turut menimbulkan persoalan mengenai mesej yang dihantar kepada generasi muda dalam usaha negara membina budaya integriti dan antirasuah.
Menurutnya, solidariti parti tidak seharusnya mengatasi kepentingan membina institusi serta budaya antirasuah, biarpun parti politik berhak membantu ahli atau pemimpin masing-masing dalam batas undang-undang.
“Parti politik juga mempunyai tanggungjawab moral kepada masyarakat untuk menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa mempunyai akibat, tanpa mengira siapa pelakunya atau sebesar mana sumbangan politiknya.
“Kalau benar kita mahu Malaysia bebas rasuah, prinsipnya mesti mudah, jangan lazimkan rasuah hanya kerana pelakunya daripada kelompok kita sendiri,” katanya.