Mohd Fasiah mungkin sertai Bersatu

Iklan
Fasiah

SABAK BERNAM - Bersatu Selangor tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh mengemukakan permohonan menyertai Bersatu selepas meninggalkan Umno, Jumaat lalu.

Setiausahanya, Hasnizam Adham berkata, secara dalaman memang ada perbincangan untuk Mohd Fasiah menyertai Bersatu selepas pemimpin itu dikatakan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan Umno.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, mana-mana pemimpin Umno yang berminat menyertai parti itu perlu melalui proses tapisan ketat bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa depan.

"Perkara ini perlu diberi pertimbangan serius dan perlu mendapat kelulusan daripada pimpinan tertinggi Bersatu sama ada menerima mereka atau tidak," katanya.

Iklan

Beliau berkata, Bersatu sentiasa terbuka menerima kemasukan mana-mana pemimpin Umno yang 'bersih' daripada sebarang kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

"Semuanya perlu mendapat kelulusan peringkat tertinggi kerana kita tak mahu pemimpin yang masuk ada terpalit skandal," katanya.

Iklan

Semalam, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Bersatu Bahagian Sabak Bernam, Hassan Jureme mendedahkan Mohd Fasiah menghubunginya berhubung hasrat menyertai Bersatu.

Hassan berkata, dalam perbualan kira-kira seminggu lalu itu, Mohd Fasiah memaklumkan telah menerima 'lampu hijau' daripada kepimpinan Bersatu untuk menyertai parti berkenaan

Sebelum ini, Mohd Fasiah bersama lima lagi Ahli Parlimen Umno mengumumkan keluar parti Jumaat lalu.