JKM cari waris bayi dijumpai di kedai ayam

Iklan
JKM mengesan bayi perempuan yang dijumpai di sebuah kedai ayam di Bukit Jabor, Chukai di Kemaman pada 6 Julai lalu.

KEMAMAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu sedang mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang bayi perempuan yang dijumpai di sebuah kedai ayam di Bukit Jabor, Chukai dekat sini pada 6 Julai lalu.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Fadzli Ismail berkata, bayi terbabit dijumpai seorang pekerja di kedai tersebut kira-kira jam 7.30 pagi sebelum membuat laporan di Balai Polis Kemaman.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini bayi terbabit telah dihantar ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Kemaman, Siti Fatimah Mohamad Fadzil di talian 09-859 1686.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan seorang peniaga menemukan bayi perempuan masih bertali pusat yang ditinggalkan di atas lantai sebuah premis di kawasan Jabur Kubur, Jalan Air Putih.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bayi yang dianggarkan seberat 3.2 kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh tiga atau empat hari sebelum ditinggalkan di lokasi berkenaan.

Iklan