Wanita maut rempuh kontena

Iklan
Perodua Ativa dipandu mangsa merempuh sebuah lori kontena yang berhenti di Kilometer 249.9 Lebuhraya PLUS.

SEREMBAN - Seorang wanita maut selepas Perodua Ativa dipandunya merempuh sebuah lori kontena yang berhenti di Kilometer 249. 9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di susur masuk kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian jam 7.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 30 tahun memandu seorang diri dalam perjalanan dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Melaka.

Iklan
Iklan

"Namun apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandunya disyaki hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kiri sebuah kontena jenis Volvo yang berhenti di sebelah kanan laluan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di lokasi.

Iklan

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif di talian 018-2029479.

"Atau boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Iklan

Sementara itu, rakaman video kejadian itu tular di Facebook dan menerusi hantaran seorang pengguna dipercayai rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.

Ini kerana katanya, tindakan kontena berkenaan berhenti di situ mengundang bahaya kerana telah menghalang laluan dan penglihatan pemandu lain.