Cadangan hukuman setimpal dikenakan terhadap pendera - Nancy

Iklan
Nancy Shukri - Foto Bernama

KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap pendera di bawah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan kanak-kanak, beliau berkata pelaksanaan rang undang-undang berkenaan perlu efektif dan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

Iklan
Iklan

Iklan

"(Misalnya) mereka yang didapati mendera perlu dikenakan hukuman sebat tetapi ada pihak yang tidak bersetuju... jadi cadangan yang kami kemukakan tidak secara melulu kerana mendapat perbincangan menyeluruh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Kasih Keluarga Segulai Sejalai dekat sini pada Ahad.

Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan 20 tahun penjara bagi mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah kerana mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan rang undang-undang yang akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dirangka selepas pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, sesi pertukaran ilmu dan kajian mendalam.

Berhubung program berkenaan, Nancy berkata sejumlah 3,587 wanita di Sarawak telah menjalani ujian saringan kanser payudara dan kanser serviks (HPV DNA) bagi tahun ini iaitu hingga 22 Ogos lepas.

"Sarawak telah mencatat 226 kes positif HPV dan alhamdulillah setakat ini, sifar kes prakanser dan sifar kes positif kanser,” katanya.

Program yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu memberikan kesedaran dan perkhidmatan saringan HPV DNA bagi pengesanan awal kanser serviks dan pendaftaran ujian saringan mamogram dalam mengesan kanser payudara dalam kalangan wanita.

Bagi tahun ini, sebanyak 2,747 orang telah menjalani ujian mamogram dengan 30 daripadanya dikategorikan perlu menjalankan penyiasatan lanjut manakala tiga kes positif kanser payudara. - Bernama