Jadi diri sendiri tak bermakna kurang ajar - Ikhmal Nour

Iklan
Ikhmal Nour memenangi kategori Rising Star of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Instagram TV3 Malaysia

SHAH ALAM - Pendatang baharu dalam dunia pencipta kandungan media sosial TikTok yang terkenal dengan nyanyian zikir dan video pendek berunsurkan hiburan serta isu semasa, Ikhmal Nour diumumkan sebagai pemenang Anugerah TikTok Malaysia 2023 bagi kategori Rising Star of The Year pada Ahad.

Ikhmal berkata, dia tidak menyangka terpilih menjadi salah seorang pemenang anugerah berprestij itu memandangkan kategori berkenaan adalah buat pendatang baharu yang berjaya mencipta nama dalam masa singkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sikap sentiasa menjadi diri sendiri dalam kehidupan maya atau realiti menjadi antara faktor kemenangannya kerana masyarakat cenderung menyukai pencipta kandungan yang tidak berpura-pura dalam menyampaikan isi atau mesej.

"Ia bermaksud menjadi diri sendiri dalam kehidupan realiti dan aplikasikannya dalam TikTok supaya orang ramai boleh tahu sifat sebenar content creator (pencipta kandungan) kerana mungkin unik bagi mereka,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Iklan

Acara yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu merupakan anugerah terbesar anjuran platform media sosial TikTok buat julung kalinya untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan daripada pelbagai latar belakang serta bidang berbeza.

Pemenang lain ialah Khairul Aming yang memenangi Creator Of The Year, Ryan Bakery (Popular Creator of the Year), Aeril Zafrel (Celebrity Creator of The Year), Anas Zahrin (Popular TikTok Shop Creator of the Year) serta Upin & Ipin (Popular Animation Account of the Year).

Iklan

Selain itu, Tiger Labu (Popular Live Creator of the Year), Shahira Azlan (Best of Fashion & Beauty), Eiqa Malek (Best of Entertainment, Sultan Riq (Best of Gaming), Khalish Fitness (Best of Sports), Sir Asai (Best of Education) dan Syifa Jamil (Best of Foodie).