Pesara rugi RM186,450 ditipu 'Phone Scam'

Iklan
Mangsa telah membuat 38 kali transaksi deposit tunai dan pindahan wang ke enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM186,450 dalam tempoh dua hari sehingga Sabtu lalu. - Gambar hiasan

TAIPING - Seorang pesara kerajaan kerugian sebanyak RM186,450 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai pos, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 42 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dari Pejabat Pos Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka dan mangsa menafikan melakukan penghantaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, mangsa diminta membuat aduan secara dalam talian di IPD sama sebelum dia diperkenalkan dengan suspek kedua yang mengaku pegawai polis bergelar Datuk.

Iklan

"Suspek berkenaan memaklumkan bahawa wang milik mangsa berjumlah RM146,450 perlu dipindahkan bagi tujuan siasatan oleh pegawai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Kerana terlalu cemas dan berasa ketakutan, mangsa telah menurut arahan yang diberikan suspek dengan memindahkan wang ke akaun yang diberikan," katanya.

Iklan

Razlam berkata, mangsa membuat 38 kali transaksi deposit tunai dan pindahan wang ke enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM186,450 dalam tempoh dua hari sehingga Sabtu lalu.

"Selesai membuat pindahan wang, suspek kedua memaklumkan bahawa pihaknya akan menghubungi mangsa setelah siasatan selesai dalam masa 30 minit.

"Mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas dan dia menghubungi semula talian berkenaan namun panggilannya telah disekat. Mangsa menyedari dia telah ditipu sindiket berkenaan," katanya.

Tambah Razlam, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan tersebut sekitar jam 6.24 petang.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri ditipu sindiket penipuan itu.