Penduduk dua kampung resah kerap dilanda banjir lumpur

Iklan
Harrison (tengah) mendengar taklimat diberikan wakil Nirwana Memorial Park Klang berhubung situasi banjir lumpur di Kampung Bukit Kapar Tambahan dan Jalan Seri Jaya di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 350 penduduk di Kampung Bukit Kapar Tambahan dan Jalan Seri Jaya di sini meluahkan keresahan apabila kerap berlaku banjir lumpur setiap kali hujan lebat.

Wakil penduduk mendakwa, kejadian banjir lumpur itu berlaku disebabkan sistem perparitan dan saliran tidak terancang di kawasan bukit berhampiran.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk yang menetap di Jalan Seri Jaya Kampung Bukit Kapar, Shahrul Nahar Sajari, 45, berkata, masalah itu berpunca daripada kerja-kerja mengorek tanah bukit oleh pemilik persendirian.

"Kerja pengorekan tanah di lereng bukit ini telah dilaksanakan lebih setahun lalu tetapi tiada sisten saliran sistematik menyebabkan berlaku limpahan air tidak terkawal di kawasan itu," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Iklan

Shahrul Nahar memberitahu, keadaan itu menyebabkan kawasan rumah penduduk digenangi banjir lumpur jika hujan berterusan.

Shahrul Nahar

"Mulanya kawasan kami sering dilanda banjir akibat pembangunan kawasan perumahan berhampiran, namun keadaan lebih teruk akibat kerja-kerja pengorekan tanah di kawasan bukit," ujarnya.

Iklan

Justeru, katanya, pihak berwajib diharap dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk termasuk memastikan kerja pengorekan tanah mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kita harap pemilik tanah menyediakan sistem saliran dan perparitan lebih sistematik bagi memastikan aliran air tidak melimpah ke penempatan penduduk," jelas beliau.

Ketua Kampung Felda Bukit Cherakah, Khairi Dzulazizi Mohd Yusof, berkata, kira-kira 70 keluarga di Kampung Bukit Kapar Tambahan berdepan risiko banjir lumpur setiap kali hujan.

Khairi Dzulazizi

Jelasnya, penduduk kerap merungut setiap kali kawasan jalan berhampiran rumah mereka digenangi banjir lumpur.

"Walaupun rumah penduduk tidak dinaiki air, tetapi keadaan permukaan jalan rosak teruk dan dipenuhi lumpur melekat hingga mengundang rasa tidak selesa penduduk," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang meninjau permasalahan penduduk di kawasan itu berkata, beberapa kaedah jangka masa pendek dan panjang perlu dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, katanya, beliau terlebih dahulu perlu mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib dan pemilik tanah bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Terdapat beberapa pihak yang perlu saya rujuk untuk menyelesaikan masalah ni kerana kawasan terlibat berada di persempadanan daerah dan juga DUN (Dewan Undangan Negeri).

"Kita berusaha mencari penyelesaian terbaik agar masalah dihadapi penduduk di kawasan ini diatasi segera," jelas beliau.