Peniaga berputih mata wang jualan hampir RM70,000 diragut

Iklan
Gambar hiasan 123RF

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai runcit berputih mata apabila wang hasil jualan dianggarkan berjumlah RM70,000 dipercayai diragut ketika dalam perjalanan ke sebuah bank di Jalan Kebun Sultan dekat sini pada Isnin.

Kejadian jam 10.45 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal dan membawa beg plastik hitam mengandungi wang tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dihampiri oleh suspek yang menunggang motosikal sebelum bertindak melarikan plastik hitam berserta dua telefon bimbit yang diletakkan di dalam bakul.

"Sewaktu kejadian suspek menunggang sebuah motosikal berwarna hijau atau hitam, memakai jaket serta berseluar dan bertopi keledar warna gelap," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kes terbabitt disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius berkenaan kejadian ini dan pihaknya sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat.

Iklan

Mohd Rosdi memberitahu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 011-65577511 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.