Kapal tangki bawa diesel tanpa kebenaran ditahan

Iklan
Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki membawa 190,000 liter diesel bernilai RM400,000 tanpa kebenaran di kedudukan 45.7 batu nautika barat laut Labuan, pada Sabtu.

LABUAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki membawa 190,000 liter diesel bernilai RM400,000 tanpa kebenaran di kedudukan 45.7 batu nautika barat laut Labuan, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Malaysia Labuan Kapten Maritim Nudin Jusoh dalam kenyataan berkata, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai kesalahan termasuk tiada nakhoda di atas kapal, lesen perkapalan dalam negeri tamat tempoh dan tiada senarai anak kapal serta dokumen penting lain.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kapal tersebut dikesan ketika pihaknya sedang menjalankan Op Sejahtera, Op Naga Timur, Op Khas Kuda Laut dan Op Tiris di sekitar perairan berhampiran pelantar minyak Samarang pada 2.10 petang.

Beliau berkata, kapal tangki itu disyaki membawa diesel seludup memandangkan ia tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan dan membawa bahan api.

Iklan

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, selain pemilik kapal akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Maritim Malaysia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan, kecemasan atau kemalangan di laut supaya menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan 087-427999. - Bernama

Iklan