120 pelumba MTB hangatkan Putrajaya

Iklan
Mohd Saiful

HAMPIR 120 peserta termasuk barisan pelumba amatur akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Bukit (MTB) Kebangsaan 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Taman Cabaran, Putrajaya mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Bukit Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, Terengganu muncul pasukan negeri yang menghantar pelumba paling ramai pada kejohanan kali ini.

Iklan
Iklan

"Malah, saya juga diberitahu tiga jaguh lebuh raya kebangsaan, Zamri (Saleh), Harrif (Saleh) serta Sofian Nabil (Omar Mohd Bakri) akan turut sama bertanding dalam salah satu acara yang dipertandingkan," katanya.

Menurut Mohd Saiful, kesemua ahli gabungan PKBM menghantar pelumba masing-masing untuk beraksi dalam empat disiplin yang dipertandingkan - cross country olympic (XCO), cross country eliminator (XCE), cross country short curcuit (XCC) dan downhill (DHI).

Iklan

"Untuk makluman khususnya kepada peminat sukan berbasikal mountain bike tempatan, dua disiplin baharu diperkenalkan pada kejohanan kali ini iaitu XCE dan XCC sebagai tambahan kepada dua lagi disiplin sedia ada, XCO dan DHI.

"Daripada empat disiplin itu, secara keseluruhannya sebanyak 14 acara dipertandingkan iaitu elit lelaki dan wanita; bawah 23 tahun (lelaki dan wanita); remaja (lelaki dan wanita) selain kategori terbuka dan veteran (Master A dan B)," jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan sudah pasti terarah dalam persaingan XCO elit lelaki dan wanita yang bakal menyaksikan kelibat pelumba handalan, Zulfikri Zulkifli, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Nur Assyira Zainal Abidin.

"Selain mahu menobatkan juara kebangsaan dalam setiap acara yang dipertandingkan, sudah tentu pelumba-pelumba utama yang bertanding nanti mahu memperbaiki ranking mereka dalam senarai UCI (Kesatuan Berbasikal Dunia).

"Jadi kita harap setiap pelumba utama negara dapat mencapai sasaran seperti mana yang telah ditetapkan kerana ranking itu juga penting sebagai momentum apabila beraksi pada kejohanan di luar negara nanti.

"Dengan adanya kategori remaja bagi peringkat bawah umur 16 tahun, kita juga mahu melihat lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan untuk mewakili Malaysia," jelasnya yang juga pengurus skuad MTB negara.