Mohamad Hasan ucap takziah keluarga mangsa letupan bom lempar

Iklan
Mohamad Hasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan tengah hari Ahad.

"Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam Ahad.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian pada jam 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu jurulatih meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi jurulatih cedera dan masih menerima rawatan.

Iklan

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat. - Bernama

Iklan