Sajak merapu di mana silapnya?

Iklan
Pengaruh media sosial menyebabkan kita kini dihadapkan dengan fenomena puisi merapu.

KITA dihadapkan dengan sebuah fenomena baharu, bahawa di laman-laman sosial banyak sekali puisi dimuat naik. Malah penerbitan kumpulan atau antologi puisi sama ada oleh syarikat penerbitan atau diterbitkan sendiri oleh penulisnya, juga meningkat mendadak berbanding 10 dahulu.

Selain itu terdapat penulis mampu mengumpulkan pengikut yang banyak di media sosial, sehingga puluhan ribu orang, meskipun kualiti karyanya boleh dipersoalkan. Adakah semuanya itu memperlihatkan menulis puisi adalah mudah?

Iklan
Iklan

Hinggakan ia dihasilkan dengan sebegitu banyak dan cepat, sehingga memperlihatkan sajak-sajak yang 'merapu'.

Menarik juga pelbagai alasan diberikan berlakunya lambakan puisi tersebut. Alasan utamanya ialah semua orang bebas menulis, dan ramai yang memilih menghasilkan sajak.

Iklan

Timbul juga persoalan lainnya, kerana menulis sajak itu mudah, siapa saja boleh menulis puisi. Sebab itu setiap hari dan minggu ada penyajak penulis baharu.

Kenyataan itu menjelaskan juga tentang tiada tapisan yang dilakukan, sebelum sesuatu karya itu diterbitkan.

Iklan

Penulis itu akan berusaha dengan cepat supaya karyanya dapat dikumpulkan dan diterbitkan. Proses penyuntingan juga tidak dilakukan, jika dibuat pun hanya ala kadarnya saja. Dalam masa terdekat, lahirlah kumpulan atau antologi, bagaikan mi segera.

Situasi semikianlah yang melahirkan sajak-sajak merapu itu. Merapu membawa pengertian bahawa sajak-sajak itu, tiada memiliki nilai yang sepatutnya wujud dalam karya.

Meminggirkan kualiti, yang dipentingkan ialah kuantiti. Maka hasilnya adalah karya yang gagal. Hal ini tentu saja disebabkan tanggapan ia mudah dibuat hingga gagal memberi hasil yang terbaik.

Jika dibandingkan dengan sajak yang tersiar di majalah dan akhbar, karya di media tersebut telah dipilih, disaring dan disunting. Justeru, aspek kualiti terjamin, dan hanya menyiarkan puisi yang bermutu sahaja. Tegasnya, peranan editor atau penyunting adalah perlu.

Penulis muda

Kita perlu menghormati usaha penulis muda, yang berkarya dan menerbitkan sendiri. Meski karya itu tiada berfokus, aplikasi diksi dan ungkapan yang tidak sekata dan struktur tidak menentu, itu adalah biasa kepada orang yang mula gila berkarya.

Saya percaya permulaan itu akan diperbaiki daripada suatu hasilan kepada hasilan lain, dan daripada penerbitan kepada penerbitan selanjutnya.

Memang diakui A Samad Said sendiri sangat teliti dan rapi ketika menghasilkan puisi. A Samad akan menyunting setiap karya yang dihasilkan berkali-kali sehinggalah ia dianggap siap dan sempurna sebelum dikongsikan.

Namun, pada peringkat awal penulisannya, menghasilkan juga karya yang merapu ini. Bacalah Liar di Api dan Di Tepi Jalan, terbitan 1959.

Dalam konteks ini alangkah baiknya penulis muda itu seketika kembali membaca teori puisi Aristotle dalam Poetics.

Aspek puisinya ialah pemikiran, struktur, bahasa, amanat, nada dan sikap pengarang. Aristotle meletakkan perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu, ialah apakah pemikiran karya itu? Dalam konteks sekarang digantikan dengan perkataan tema.

Pemikiran menggambarkan kognitif pengarang. Kesedarannya terhadap sesuatu gejala dan cuba membahaskanya. Dengan pemikiran itulah yang akan dimantapkannya dari sebuah sajak kepada sajak yang lain, sehingga terlihat ideologi dan idealisme pengarang.

Justeru, pemikiran adalah penting, yang mendasari kemampuan berkarya dan relevansinya dengan masyarakat.

Struktur bergantung kepada pilihan pengarang. Zaman Aristole adalah puisi lirik, zaman romantisisme munculnya soneta dan balada. Dan zaman realisme penyair memilih susunan yang bebas, konkrit atau pictorial.

Golongan avant-garde melahirkan puisi kaligram, yang strukturnya sentiasa berubah, tetapi pemikirannya tetap berfokus dan jitu.

Teori genre sastera menggesa pengarang, memilih struktur dan genre yang sesuai dengan kebolehan pengarang. Dan memantapkannya supaya ia menjadi diri sendiri.

Secara logiknya bahasa puisi adalah estetik, ekonomikal, sugestif dan figuratif. Sama ada sukakan kepada metafora dan simile, itu adalah pilihan.

Aristotle menggariskan bahasa puisi adalah yang amazing, iaitu mengandungi unsur spektakuler, kekaguman kepada indera dan minda. Bahasa tidak sahaja sebagai pakaian, tetapi adalah peribadi.

Amanat adalah gagasan yang mendasari karya sastera, pesan yang ingin disampaikan pengarang kepada khalayak.

Puisi dapat mengungkapkan beragam hal, seperti keinginan, kerinduan, kesenangan, atau kekaguman melalui bahasa yang cantik. Amanat berupa ajaran, hikmah dan dorongan untuk menghargai kehidupan.

Sajak berbeza dengan genre cerpen atau novel, amanat itu sebenarnya membayangi pemikiran pengarang, ia membantu aspek pemikiran supaya lebih berakal, kukuh dan mantap.

Amanat

Sajak tanpa amanat bagaikan sebuah kapal di lautan tanpa kompas. Hal yang sama ialah nada, yang berhubungan dengan perasaan penyair, motivasi, impak dan pragmatik karya.

Nada patriotik, sinis, protes, romantik, melankolik adalah nada yang popular. Penyajak merasa marah, menyindir, menikam, sayang dan keterharuan.

Lazimnya hanya sebuah nada diaplikasikan, dipelihara dan dimatangkan. Semuanya itu akan membayangi sikap pengarang, sebuah aspek yang menuntut penyajak berjiwa tekal dan nekad dalam aspek pemikirannya.

Sikap pengarang adalah kenyataan pendirian penyajak terhadap pemikiran dan amanat karyanya. Selalu dipertanyakan apakah penyair menyikapinya dengan penuh kesungguhan, kecintaan, keghairahan dan optimistik. Atau bersikap pesimistis, penuh kegetiran, kekacauan chaos, penuh dengan kemurungan, anxiety dan skizofrenik.

Selain sikap pengarang menentukan mutu sajak, ia juga menghubungkan teks dengan khalayak. Penyair yang menyikapi pembaca sebagai sosok yang cerdas dan apresiatif, mendorong penulisannya berhati-hati dan menghormati dirinya sendiri, supaya menghasilkan karya yang baik, tidak semborongan dan semberono. Apa lagi yang merapu!

Kembali kepada gagasan Aristotle dalam teori formalistik, hanya sebagai usaha kepada pengarang muda tidak menghasilkan karya yang merapu itu.

Aristotle juga semasa membina teorinya, sebagai ajaran kepada penulis puisi lirik yang merapu pada zamannya.

Aristotle juga membantu penulis drama yang sudah meninggalkan kekuatan karya-karya dramatis Aeschylus (525-456 Sebelum Masihi - SM) dengan tragedi, Aristophanes (448–380 SM) dengan komedi, Sophocles (496-406 SM) dan Euripides (480-406 SM) menghasilkan tragikomedi.

Nasihatnya diaplikasi oleh pengarang muda yang merapu dan mampu melahirkan drama yang luar biasa, dan zaman itu terkenal sebagai zaman emas drama Greek.

Begitulah kita harapkan puisi merapu itu, seandainya diperbaiki sedikit demi sedikit ia akan menjadi teks idaman yang sempurna dan matang.

Wacana teori Aristotle ini hanyalah suatu langkah, di sana banyak teori lain seperti teori revisionisme, menggariskan bagaimana seorang pengarang memperbaiki karyanya sehingga mengatasi teks pengarang idolanya.

Begitu juga teori teksdealisme menyediakan jejak dan langkah daripada pengarang biasa menjadi pengarang unggul.

InsyaAllah penulis sajak merapu dapat menghasilkan teks kanon, dan akhirnya menjadi istimewa sebagai penyair yang unggul.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.