Polis tahan lelaki pukul pemandu wanita dengan topi keledar

Iklan
Tangkap layar video insiden yang turut tular di media sosial.

BALIK PULAU - Polis menahan seorang lelaki yang memukul pemandu wanita menggunakan topi keledar dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut, di sini pada Khamis yang video insiden itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 32 tahun yang merupakan penunggang motosikal itu ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati lelaki itu tidak berpuas hati dengan wanita tersebut yang memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan dan telah mendorong suspek mencederakan wanita itu dengan topi keledar.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerusi talian 04-8662222.

Iklan

Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak kasar sebelum memukul pemandu wanita dengan topi keledar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata, pihaknya menyita enam motosikal dalam OP Samseng Jalanan yang dijalankan bermula 1 pagi di Bayan Lepas, di sini.

Iklan

"Kesemua motosikal itu disita menurut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengeluarkan 133 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya menambah selain membendung samseng jalanan melibatkan mat rempit, operasi juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Operasi akan diteruskan setiap minggu bagi mencegah gejala mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman awam," katanya. - Bernama