Nik Hadif Darwisy (kanan) menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Maahad Tahfiz Negeri Pahang pada Khamis.
"Lebih istimewa lagi kesemua pelajar ini telah berjaya khatam dan menghafaz 30 juzuk al-Quran. Seramai 40 daripadanya telah lulus ujian syahadah (membaca secara hafazan tanpa salah) kategori lima, 10 dan 15 juzuk al-Quran,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelajar-pelajar ini juga aktif dalam kokurikulum antaranya debat, sukan berkuda, golf, bola jaring, catur, inovasi dan robotik peringkat negeri dan kebangsaan serta antarabangsa.
Sementara itu, Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2022 MTNP dengan pencapaian 11A.
Beliau yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan syahadah juga aktif dalam kokurikulum khususnya debat dan menjadi juara di peringkat negeri Pahang, nasional hingga ke peringkat antarabangsa.
"Kejayaan para pelajar ini diharap dapat diteruskan lagi hingga ke peringkat tertinggi seterusnya berjaya menjadi hufaz teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang bagi menerajui negeri Pahang dan negara amnya pada masa hadapan sebagaimana misi dan visi penubuhan institusi ini.
MTNP adalah institusi tahfiz milik Yayasan Pahang, sebuah agensi Kerajaan Negeri Pahang yang ditubuhkan untuk memartabatkan pendidikan anak-anak Pahang.