Ramai tidak sedar alami masalah kesihatan mental

Iklan
Foto hiasan 123RF

KESIHATAN mental menjadi antara topik utama dibincangkan pelbagai pihak di Malaysia, baik agensi kerajaan mahupun pertubuhan bagi tujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan dan rawatannya.

Statistik menunjukkan terdapat peningkatan kes melibatkan kesihatan mental, sekali gus melahirkan kebimbangan kerana ia berkait rapat dengan kualiti hidup dan produktiviti.

Iklan
Iklan

Berdasarkan data, individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima kali ganda bagi tahun 2021.

Berbanding tahun 2020 sebanyak 212,319 panggilan, manakala tahun sebelumnya merekodkan 44,061 panggilan.

Iklan

Walaupun kesihatan mental bukanlah penyakit berjangkit tetapi jika tiada kesedaran tinggi untuk merawatnya, ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Ini kerana, ia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri apabila terdapat sebanyak 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020. Jumlah tersebut dilihat begitu ketara.

Iklan

Justeru, penting bagi rakyat Malaysia mengetahui tahap kesihatan mental masing-masing dan segera mendapatkan rawatan.

Mengambil contoh terbaharu laporan media melibatkan seorang lelaki bertindak keterlaluan dengan membaling bungkusan makanan dan bungkusan minuman panas di sebuah restoran gara-gara berang disapa sebagai pak cik serta mahu dipanggil ‘abang’ atau ‘baby’.

Tindakan tersebut menyebabkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun terkena air minuman panas tersebut.

Jelas sekali, kesihatan mental dan tekanan emosi turut memberi kesan bukan sahaja kepada individu berkenaan, sebaliknya orang di sekeliling mereka.

Maka, wajarlah usaha mengesan, mencegah dan tindak balas dilaksanakan lebih agresif pihak berkaitan kerana dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental merujuk kepada Teras kelapan iaitu Keselamatan Rakyat.

Daripada sudut individu pula, stigma negatif terhadap kesihatan dan masalah mental perlu dibuang sejauh mungkin selain menggunakan pelbagai platform tersedia termasuk talian panggilan disediakan KKM.