Pembedahan EXIT pertama libatkan janin di Terengganu
Iklan
Dr Nor Azimi (empat, kanan) bersama pakar-pakar yang terlibat dalam pembedahan EXIT pertama di Terengganu membabitkan janin berusia 37 minggu mempunyai ketumbuhan pada leher.
KUALA TERENGGANU – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) melakar sejarah baharu dalam perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan Ex-Utero Intrapartum Treatment (EXIT) pertama di Terengganu melibatkan janin berusia 37 minggu yang mempunyai ketumbuhan seberat 2.7 kilogram di leher pada 22 Januari lalu.
Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus berkata, janin tersebut dikesan mempunyai ketumbuhan pada usia 22 minggu dan ibunya yang tinggal di Pahang dirujuk ke HSNZ pada usia kandungan 36 minggu bagi menjalani pembedahan EXIT berikutan kepakaran yang ada di hospital ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pembedahan melibatkan 30 kakitangan termasuk pakar Anestesiologi (subkepakaran Paediatric Anaesthetist dan Obstetric Anaesthetist), pakar ENT (subkepakaran Pediatric ENT), pakar Obstetric (subkepakaran Fetal Maternal Medicine) dan pakar Paediatric (subkepakaran Neonatalogy) itu mengambil masa kira-kira sejam.
"HSNZ telah menerima rujukan dari hospital Kuantan, seorang ibu hamil mempunyai janin dengan kecacatan sangat serius. Melalui imbasan ultrasound dan MRI, terdapat ketumbuhan sangat besar pada leher dan muka yang menyempitkan saluran pernafasan janin.
Iklan
"Saiz ketumbuhan ini sangat besar iaitu 2.7 kg, lebih besar daripada janin itu sendiri yang seberat 2.5kg dan kes seperti ini sangat jarang berlaku.
"Situasi ini sangat merbahaya kepada nyawa ibu jika dilahirkan secara biasa kerana kepala bayi bersama ketumbuhan yang besar di leher akan tersekat di salur peranakan. Walaupun dilahirkan secara caesarean, pakar-pakar tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuka saluran pernafasan bayi yang tertekan oleh ketumbuhan itu.
Iklan
"Kemungkinan besar otak bayi mendapat kecederaan kekal atau membawa kepada kematian akibat kekurangan bekalan oksigen yang kritikal. Jadi, pembedahan EXIT adalah pilihan terbaik untuk ibu hamil ini,” katanya pada sidang media di HSNZ, di sini hari ini.
EXIT adalah pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dan merawat janin semasa pembedahan caesarean sebelum bayi ini dilahirkan sepenuhnya. Pembedahan yang amat jarang dilakukan di Malaysia ini sangat mencabar dan memerlukan pasukan yang memiliki kepakaran tinggi.
Prosedur ini dilakukan dengan cara selepas pembedahan dilakukan, rahim dibuka dan hanya kepala janin dikeluarkan sebelum pakar bedah Paediatric ENT bersama pakar Paediatric Anaesthesia membuka saluran pernafasan janin dan memasukkan tiub pernafasan sementara.
Pada masa ini, janin masih lagi mendapat oksigen daripada uri melalui tali pusat dan setelah prosedur ini selesai, barulah badan janin dilahirkan dan tali pusat dipotong serta uri dikeluarkan.
Menurut Dr Nor Azimi, ibu berusia 23 tahun dan bayi lelaki itu berjaya menjalani pembedahan EXIT pada 22 Januari lalu dan bayi di bawa ke bilik bedah berasingan untuk rawatan seterusnya bagi memastikan saluran pernafasan berfungsi dengan baik sebelum dibawa ke Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) untuk distabilkan.
Beliau berkata, ketumbuhan tersebut didiagnosakan sebagai ‘Giant Cystic Hygroma’ dan bayi itu kemudian menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seminggu selepas dilahirkan.
"Pembedahan ini sangat mencabar kerana bayi hanya berusia seminggu, ketumbuhan ini sangat kompleks dan melibatkan saluran pernafasan dan saluran darah utama selain bayi akan mengalami pendarahan yang banyak hingga boleh membawa kematian.
"Dengan kepakaran dan sub kepakaran yang ada, pembedahan yang mengambil masa selama 10 jam bermula 8 pagi berjaya dilakukan dengan 90 peratus ketumbuhan dapat dikeluarkan dan bayi selamat. Bayi ini dibenarkan pulang sebulan selepas itu,” katanya.
BERITA SEMASA 4 MEI 2024
Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berwaspada ketika melalui kawasan pelupusan sampah Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu yang terbakar kerana jarak penglihatan di situ agak terhad, lapor wartawan Sinar Harian, Norhaspida Yatim.
Situasi bertambah buruk setelah kawasan tersebut dilanda hujan sekitar jam 1 tengah hari pada Sabtu menyebabkan laluan jalan raya bersebelahan kawasan kebakaran itu diselubungi asap tebal.
Tinjauan mendapati pengguna jalan raya terpaksa menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan tersebut.
Seorang peniaga, Hanisah Shafie, 48, berkata, kawasan itu diselubungi asap tebal selama hampir 20 minit sebaik ia dibasahi hujan kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/662859/Tapak-pelupusan-sampah-terbakar,-diselubungi-asap-tebal