PRN Negeri Sembilan: Majlis Presiden PH tentukan pembahagian kerusi

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kini menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan soal pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka hujung bulan ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia termasuklah mengenai rundingan pembahagian kerusi itu secara status quo.

Iklan
Iklan

"Kita tak ada dah perbincangan di peringkat negeri, kita serahkan kepada Majlis Presiden PH untuk tentukan. Kalau saya di Negeri Sembilan, saya nak status quo,negeri lain terpulanglah, tetapi kuasa akhirnya adalah Majlis Presiden PH," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Iklan

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan bagaimanapun tidak menafikan terdapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam proses rundingan.

"Apa juga keputusan nanti kita kena berjiwa besarlah, kita kena terima. Begitu juga dengan kedudukan saya sama ada bertanding ataupun tidak, saya serah kepada pucuk pimpinan tertinggi," ujarnya.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta tambahan dua kerusi untuk ditandingi daripada 16 kerusi sedia ada dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Selain Negeri Sembilan, negeri lain yang menghadapi PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pada PRU14 PH memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN manakala bakinya dimenangi oleh BN.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, beliau akan mengadakan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam masa terdekat berhubung pembubaran DUN yang dijangka pada 30 Jun nanti.