Pindah pesakit guna tangga di Hospital Melaka ekoran kerosakan luar lif

Iklan
Video tular yang memaparkan proses memindahkan pesakit di wad aras empat ke aras tiga dengan menggunakan tangga kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.

MELAKA - Video tular yang merekodkan proses pemindahan pesakit menggunakan tangga di Hospital Melaka di sini, berlaku ekoran berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F hospital berkenaan semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kerosakan lif berkenaan menyebabkan akses ke beberapa wad di hospital berkenaan terhad, namun pemindahan pesakit ke wad lain perlu dilakukan.

Iklan
Iklan

"Video tular berkenaan memaparkan proses memindahkan pesakit yang berada di wad aras empat ke aras tiga dengan menggunakan tangga kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.

"Proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, proses pemindahan pesakit berkenaan, dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat serta pengurusan wad, dan pesakit itu telah dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.

Justeru katanya, semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi tidak berasas kerana ia boleh menimbulkan situasi panik, dalam kalangan pesakit.

Iklan

Dalam pada itu, Hee Sem berkata, Hospital Melaka sedang melaksanakan kerja-kerja menaik taraf lif di beberapa blok hospital berkenaan dan sepanjang tempoh itu, jumlah lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baharu.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf lif berkenaan terbahagi pada dua fasa iaitu antara Oktober 2022 hingga Julai depan bagi fasa satu, manakala fasa dua akan bermula pada Julai depan hingga Disember.

Sehingga semalam katanya, sebanyak dua lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan daripada pihak Hospital Melaka.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 32 saat merekodkan seorang pesakit diusung turun menggunakan tangga, dipercayai berlaku di Hospital Melaka. - Bernama