'Dr Mahathir jadi PM tuah untuk Pakatan Harapan'

Iklan
Md Shukri Shuib
KUALA LUMPUR -Penganalisis politik, Md Shukri Shuib menyifatkan kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) yang kini mentadbir Malaysia selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah bertuah.

Menurut beliau, keistimewaan itu dibuktikan apabila tampuk pimpinan parti komponen berkenaan merupakan bekas perdana menteri yang pernah memimpin negara lebih dua dekad.

"PH dianggap bertuah kerana mempunyai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai pengalaman dalam selok-belok pentadbiran Malaysia.

"Situasi ini jarang berlaku dalam dunia politik dan ia harus dihargai oleh semua pihak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Md Shukri, perubahan dan peralihan kuasa pembentukan Kerajaan Persekutuan daripada BN kepada PH mempunyai pro dan kontra.

Bagaimanapun, PH mempunyai kekuatan tersendiri apabila mampu menguruskan negara tanpa memerlukan perubahan dasar yang berlebihan.

"Jika diperhatikan, sebelum ini beliau (Dr Mahathir) memimpin negara bersama BN manakala kini dengan pasukan PH tetapi, situasi negara tidak berubah secara drastik.

"Kehidupan masyarakat dan negara masih berada dalam kelompok serta sistem yang sama," jelasnya.

Beliau memberitahu, masyarakat perlu memahami bahawa perubahan kerajaan bukan bermaksud perubahan sistem.

"Sistem di sini adalah merujuk pada aspek perundangan, gaya pentadbiran dan dasar.

"Setiap komponen ini tidak memerlukan kerajaan melakukan perubahan secara drastik sekiranya ia kekal memangkin kesejahteraan rakyat dan negara," ulasnya.