CME gesa EU iktiraf MSPO

Iklan
EU perlu mengiktiraf kerja keras Malaysia untuk menjadikan industri minyak sawit lebih lestari terhadap alam sekitar.

SHAH ALAM - Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai penyumbang penting dalam memerangi penebangan hutan.

Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito berkata, EU perlu mengiktiraf kerja keras Malaysia untuk menjadikan industri minyak sawit lebih lestari terhadap alam sekitar.

Iklan
Iklan

"Penting untuk membangkitkan perkara ini ketika Malaysia memulakan lawatan rasmi dan misi perdagangan ke EU di Brussels, Belgium dan London, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Jika EU serius untuk menangani isu penebangan hutan dan mengekalkan kelestarian minyak sawit, secara kolektif perlu berusaha untuk menerima, meraikan dan mempromosikan MSPO sebagai penyumbang yang diiktiraf ke arah kelestarian alam sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

MSPO merupakan skim pensijilan yang saksama serta praktikal dan boleh mengukuhkan amalan kelestarian di seluruh rantaian nilai pengeluaran minyak sawit.

Dalam pada itu Carmelo berkata, MSPO bersifat inklusif kerana melibatkan petani kecil serta menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tindakan dan amalan pertanian.

Iklan

"Kelapa sawit merupakan sumber pendapatan lebih tujuh juta petani kecil seluruh dunia dan Malaysia manakala pengeluaran mereka menyumbang 40 peratus daripada jumlah kawasan ladang.

"Kos yang jauh lebih rendah untuk pensijilan MSPO telah menarik pekebun kecil yang bergantung kepada minyak sawit untuk mata pencarian mereka," jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sijil MSPO sah selama lima tahun dan lengkap dengan audit pengawasan tahunan disemak dalam tempoh tersebut melalui pendekatan perundingan pelbagai pihak.

"MSPO bukan untuk bersaing atau menggantikan skim pensijilan sedia ada tetapi kami percaya minyak sawit mampan boleh diperkukuh melalui penglibatan lebih besar daripada peserta dalam rantaian bekalan termasuk tapak semaian, pekebun kecil, ladang besar serta kilang penapisan.

"Pembuat dasar di seluruh dunia harus progresif dalam menerima dan mempromosikan skim pensijilan inklusif, setempat dan komprehensif seperti MSPO," tegasnya.