Pas berpengaruh dalam PN bukan masalah - Ahmad Faizal

Iklan
Ahmad Faizal ketika ditemubual wartawan Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan desas-desus bahawa Pas lebih berpengaruh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan berkenaan bukan satu isu.

Jelas bekas calon kerusi Parlimen Tambun itu, jika ia benar, Bersatu merupakan rakan koalisi kepada parti tersebut dalam PN.

Iklan
Iklan

"Kalau betul sekalipun, Pas ialah sebahagian daripada PN. Jadi, tiada masalah,” kata beliau ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Mengulas mengenai tawaran pimpinan Kerajaan Perpaduan kepada Pas berhubung penyertaan dalam gagasan tersebut, Ahmad Faizal menyatakan, tindakan tersebut jelas mencerminkan gabungan berkenaan terdesak dalam mencari sokongan.

Iklan

Beliau berpendapat, usaha itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan kini mengakui Pas memiliki pengaruh politik lebih tinggi berbanding parti lain seperti UMNO.

"Kalau awak sendiri jadi Perdana Menteri, mestilah awak impikan satu kumpulan yang kuat untuk bersama. Jadi, jelas sekali, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya nak bekerjasama dengan Pas.

Iklan

"Berbanding bekerjasama dengan UMNO, buat apa? UMNO sudah lemah, ramai orang Melayu sudah tidak menyokongnya, kerusi parti itu pun tidak banyak.

"Maka, boleh jadi, ia merupakan satu strategi mereka untuk meninggalkan UMNO dan pergi kepada Pas,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Faizal, taktik itu jelas menunjukkan terdapat satu usaha bagi meruntuhkan gabungan PN demi kepentingan politik.