Warga emas disamun ketika tidur

Iklan
Gambar hiasan

CHANGLUN - Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun melalui saat-saat mencemaskan apabila rumahnya dipecah masuk oleh empat penyamun di Taman Seri Hosba, di sini awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa yang tinggal seorang diri sedang tidur di biliknya.

Iklan
Iklan

Katanya, empat penyamun itu bertindak memecah masuk ke rumah mangsa dan memukul dengan kayu sehingga lututnya cedera.

"Suspek yang turut bersenjatakan dua bilah pisau berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM1,300, kad-kad bank serta sebuah kereta Proton Waja berwarna biru bernombor pendaftaran JGV3274," katanya.

Iklan

Menurutnya, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan pihak polis masih mengesan keempat-empat suspek yang dianggarkan berusia antara 20-an hingga 30-an untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Iklan

"Pihak polis turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar segera tampil menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu di talian 04-9172222," katanya.