Putera Mahkota Abu Dhabi adakan lawatan khas ke Malaysia

Iklan
Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan akan membuat lawatan khas ke Malaysia mulai Ahad hingga 24 Mei.

PUTRAJAYA - Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan akan membuat lawatan khas ke Malaysia mulai Ahad hingga 24 Mei.

Ini merupakan lawatan sulung baginda ke Malaysia sejak pelantikannya sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac.

Iklan
Iklan

Menurut kentayataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Sheikh Khaled akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin (22 Mei).

"Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Iklan

Sheikh Khaled turut akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.

"Lawatan khas itu akan mengukuhkan lagi hubungan baik yang telah terjalin sejak sekian lama dengan UAE yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 September 2022," menurut kenyataan itu.

Iklan

UAE ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus kepada RM38.73 bilion (AS$8.79 bilion) daripada RM22.33 bilion (AS$5.39 bilion) pada tahun sebelumnya. - Bernama