Ramai degil tunggang e-skuter di jalan raya

Iklan
Gambar hiasan

WALAUPUN tindakan menunggang skuter elektrik (e-skuter) dilarang sama sekali di atas jalan raya, tetapi masih ramai yang berbuat demikian.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka ini tidak tahu tentang larangan atau sengaja melanggar peraturan, tetapi ia sebenarnya mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun pengguna jalan raya lain.

Iklan
Iklan

Sebenarnya pada April tahun lalu, Kementerian Pengangkutan telah menjelaskan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.

Larangan itu dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember tahun sama.

Iklan

Tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

Mana-mana individu yang menggunakan kenderaan berkenaan di atas jalan raya boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 seperti diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Selain itu, jika membabitkan kemalangan ia akan menjadi satu isu besar kerana tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 41 hingga 44 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan atau sehingga menyebabkan kematian.

Aktiviti menunggang e-skuter ini bukan hanya melibatkan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak, namun apa yang merisaukan adalah tiada pengawasan sehingga ada dalam kalangan mereka berada di atas jalan.

Kebanyakan lokasi tumpuan menunjukkan penunggang e-skuter ini menggunakan laluan pejalan kaki dan sebenarnya ia tidak sesuai.

Justeru bagi memastikan ia relevan untuk kegunaan orang ramai, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan laluan khusus buat penunggang e-skuter sama ada bagi urusan harian mahupun riadah.

Begitu juga dalam hukuman ke atas mereka melanggar peraturan menunggang di atas jalan raya, denda yang tinggi dan penguatkuasaan ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak ada lagi mereka yang sengaja mengingkarinya.