'Segerakan pemilihan UMNO Johor Bahru'

Iklan
Yahya Jaafar

JOHOR BAHRU - Pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu selepas berlaku kekecohan akibat lebihan kertas undi perlu dilakukan secepat mungkin.

Calon Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, sudah menghubungi Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman memaklumkan permintaan itu dan masih menunggu tarikh untuk dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini belum ada makluman mengenainya. Saya berharap dapat diadakan secepat mungkin kerana Ramadan sudah berakhir.

"Hanya bahagian ini yang masih belum selesai manakala bahagian lain yang terlibat untuk pemilihan semula telah dilaksana pada Ramadan lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Rabu.

Iklan

Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat melakukan siasatan terhadap dakwaan seramai 523 perwakilan yang berdaftar namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan terjejas khususnya jawatan Ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian serta Naib Ketua UMNO bahagian.

Iklan

Pada 1 April lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, UMNO Johor akan mengambil alih pemilihan berkenaan dengan Setiausaha UMNO Johor diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan terbabit.

Yahya yang juga Ahli Majlis Bandar Baru Uda akur dengan keputusan tersebut walaupun telah menang pada pemilihan pada 18 Mac lalu.

"Saya akur dengan keputusan jawatankuasa pemilihan pusat, sebagai ahli parti kita kena terbuka. Jika ALLAH SWT sudah tentukan kemenangan kita, kita akan menang, Insya-ALLAH perlu kerja lebih lagi," ujar beliau.

Katanya yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, apa yang menjadi kebimbangan ialah 'mood' perwakilan berubah disebabkan berlaku kekecohan selepas berlakunya lebihan kertas undi sebelum ini.

"Khuatir juga jumlah perwakilan yang hadir berkurangan kerana tak pernah berlaku bermesyuarat dua kali, terpaksa berkorban masa dan sebagainya untuk hadir," katanya.