FAM pantau situasi cuaca panas

Iklan
Mohd Firdaus

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan sentiasa memantau situasi cuaca panas yang sedang melanda negara sebelum memulakan sebarang perlawanan yang berlangsung pada waktu petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, komisioner perlawanan akan diminta untuk mendapatkan nasihat daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum perlawanan untuk mengelakkan risiko strok haba.

Iklan
Iklan

Menurutnya, badan induk itu yang mengendalikan saingan Piala Belia dan Piala Presiden menegaskan tidak akan berkompromi dan akan meletakkan isu keselamatan pemain sebagai perkara utama.

"Kita memandang serius perkara ini dan saya harap pegawai perlawanan yang bertugas agar sentiasa memantau suhu dan cuaca sebelum perlawanan.

Iklan

"Jika cuaca didapati panas, mungkin perlawanan terbabit boleh dilangsungkan di sebelah malam atau ditunda dulu.

"Isu keselamatan dan nyawa bagi saya kita tidak boleh berkompromi. Kita kena letakkan keselamatan pemain di tahap tertinggi," katanya.

Iklan

Setakat Sabtu, lima kes gangguan kesihatan akibat cuaca panas direkodkan di seluruh negara.

Angka itu melibatkan satu kematian kanak-kanak 11 tahun akibat strok haba dan satu kematian bayi berusia 19 bulan kerana kelesuan haba, kedua-dua berlaku di Kelantan.

Tiga lagi kes dilaporkan di Sarawak membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.