Ibu tunggal hidap kanser dapat perhatian

Iklan
Tuah menghulurkan bantuan segera kepada Salina ketika melawat wanita itu, semalam.

KLANG – Nasib menimpa ibu tunggal, Salina Ramly, 45, yang menghidap kanser payudara tahap empat mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Klang, di sini.

Pegawai JKM, Tuah Sajali berkata, pihaknya menghulurkan bantuan segera berjumlah RM300 bagi membantu meringankan beban wanita berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sebaik saja mendapat tahu kisah ini yang dilaporkan Sinar Harian, saya bersama pegawai JKM mengunjungi pesakit terbabit.

"Selain bantuan segera, kita turut menyerahkan borang permohonan bantuan untuk dilengkapkan bagi membantu ibu tunggal ini mendapatkan Bantuan Am sebanyak RM350 sebulan mulai Jun ini," katanya ketika lawatan ke rumah wanita itu, semalam.

Iklan

Menurutnya, sebelum ini keluarga berkenaan tidak pernah membuat permohonan kepada JKM.

Menurut beliau, pihaknya akan sedaya upaya membantu meringankan beban wanita itu memandangkan dia sudah tidak mampu bekerja dan hanya bergantung hidup kepada adiknya.

Iklan

"Berdasarkan siasatan, ibu tunggal ini mengalami kesempitan dari segi kewangan khususnya perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan dua kali seminggu di Hospital Putrajaya.

"Masalah kesihatan semakin teruk menyebabkan anak perempuannya terpaksa memberi sepenuh perhatian untuk menjaganya,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan penderitaan ditanggung Salina yang kini menghidap kanser payudara tahap empat.

Lebih menyedihkan, ibu tunggal dua anak itu mengalami kesempitan hidup dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada adiknya selepas tidak mampu lagi bekerja akibat kesihatannya semakin merosot.