Sistem RKM pantau aktiviti pengajar, dakwah di Selangor - MAIS

Iklan
Salehuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, pada Sabtu. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan melaksanakan secara menyeluruh sistem Rekod Kehadiran Mengajar (RKM) bagi pemegang tauliah mengajar di negeri ini mulai tahun depan untuk memastikan aktiviti pengajaran agama Islam dapat direkod dan dipantau secara lebih sistematik.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, inisiatif digital itu ialah langkah penting dalam memastikan pengurusan tauliah mengajar di Selangor sentiasa efisien, telus dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Rekod berkenaan akan menyediakan data lebih sistematik dan telus bagi menyokong perancangan dakwah, di samping menjadi rekod pengesahan rasmi yang boleh dirujuk apabila diperlukan pada masa akan datang," katanya pada majlis perasmian Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hpada Sabtu.

Salehuddin berkata, inisiatif berkenaan turut memberikan penekanan terhadap usaha memperkasakan profesionalisme serta integriti pendakwah dalam menyampaikan ilmu berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Iklan

Pada majlis itu, Salehuddin turut menyampaikan anugerah Tokoh Penghantar Ilmu dan Dakwah Negeri Selangor 2026 kepada Samsudin Sidek bagi kategori lelaki dan Faizah Mohd Husain bagi kategori wanita.

Beliau berkata, kepentingan menimba ilmu secara berguru menerusi kitab-kitab turath perlu terus dijadikan pegangan utama bagi membendung kekeliruan masyarakat berikutan lambakan sumber rujukan ilmu agama yang tidak disaring secara dalam talian.

Iklan

Perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) ketika ini menuntut umat Islam, khususnya generasi muda untuk mengamalkan prinsip tabayyun serta tidak terburu-buru menerima maklumat yang tersebar secara meluas di alam siber.

"Jangan mudah menerima, jangan mudah ambil dan jangan cepat membuat keputusan mahupun menghukum. Dalam al-Quran ada sebut mengenai tabayyun, iaitu boleh didengar tetapi kita perlu tapis dahulu sebelum mengguna pakai maklumat berkenaan, apatah lagi menyebarkannya.

"Lagi banyak rujukan sebenarnya lagi susah jika kita tiada pegangan. Bagi para dai dan pendakwah, mereka mesti ada pegangan teks ilmu turath atau kitab kuning seperti Risalah Tauhid sebagai asas, bukan hanya bersandar kepada maklumat moden yang belum pasti kesahihannya,” katanya.

Sementara itu, Faizah berkata, pematuhan terhadap sistem pentauliahan perlu diperkukuh, terutama apabila media sosial kini menjadi platform bagi sesetengah individu yang tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan pandangan berkaitan hukum dan ilmu agama secara terbuka.

"Bila ada sistem digital, kita boleh nampak orang yang tiada tauliah bebas bercakap dan menyampaikan ilmu yang belum matang semata-mata bergantung kepada carian di Internet. Keadaan ini amat bahaya kerana ilmu sepatutnya bersumberkan kitab dan guru yang sahih.

"Zaman sekarang cabarannya lebih besar disebabkan lambakan rujukan. Namun, asas utamanya perlu bermula dari rumah menerusi penerapan akidah, adab dan akhlak oleh ibu bapa, selain pendakwah itu sendiri perlu menyerap pendekatan mesra anak muda mengikut kesesuaian zaman,” katanya.

Majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan MAIS itu menghimpunkan hampir 2,000 pemegang tauliah mengajar dari seluruh negeri, termasuk yang mengikuti persidangan berkenaan secara dalam talian.

Antara pengisian utama perhimpunan berkenaan ialah sesi Bicara Fatwa bertajuk"Fahaman, Ajaran, Pegangan atau Amalan Salafi Wahabi" oleh Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Datuk Profesor Madya Dr Muhammad Ayman Al-Akiti bagi memelihara kesucian akidah umat Islam.

Majlis disusuli segmen Bicara Tauliah bertajuk"Pendakwah Berwibawa: Antara Ilmu, Akhlak dan Hikmah" oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Profesor Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebelum penyampaian Anugerah Tokoh Penghantar Ilmu dan Dakwah Negeri Selangor kepada pendakwah yang cemerlang. - Bernama