JKNT keluar 182 kompaun kepada peniaga bazar Ramadan

Iklan
Penguat kuasa JKNT melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa. (Gambar kecil: Dr Kasemani) - Foto JKNT

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 182 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan kepada peniaga bazar Ramadan dalam pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri setakat Selasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, notis kesalahan melibatkan kompaun berjumlah RM19,450 itu dikeluarkan selepas peniaga dikesan gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kesalahan itu adalah menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan latihan pengendali makanan, tidak memakai apron atau pakaian pelindung dan tidak mengamalkan kebersihan diri.

Dr Kasemani berkata, terdapat 3,941 petak niaga di 61 lokasi bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan seramai 7,914 pengendali makanan di lapan daerah pada tahun ini.

Iklan

Katanya, JKNT melalui 366 anggota penguat kuasanya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan berdaftar serta tidak berdaftar sepanjang Ramadan kali ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai membuat aduan terus kepada JKNT sekiranya ada terbeli makanan basi, tidak masak sempurna dan berbau busuk supaya siasatan serta tindakan lanjut dapat diambil.

Iklan

"Namun setakat ini kita belum menerima aduan seumpama ini. Kita sentiasa memandang serius isu keselamatan makanan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna, jadi saya harap laporan dapat dibuat kepada JKNT,” katanya.