30 tapak sampah haram dikesan di Negeri Sembilan sejak Januari

Iklan
Sebanyak 30 kawasan tompok panas (hot spot) pembuangan sampah haram dikesan oleh SWCorp Negeri Sembilan bagi tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.- Gambar hiasan

SEREMBAN - Sebanyak 30 kawasan tompok panas (hot spot) pembuangan sampah haram dikesan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan bagi tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata, kawasan di Majlis Bandaraya Seremban merupakan lokasi tertinggi hotspot sampah haram dengan kebanyakan sampah berkenaan dilonggokkan di tempat sunyi dan bangunan terbiar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan berkenaan mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Menurutnya, sehingga hari ini, sebanyak 13 kes bagi kesalahan pembuangan sampah haram telah dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan denda sebanyak RM10,000 hingga RM25,000.

Iklan

Siti Yusnita berkata, SWCorp sentiasa membuat pemantauan di lokasi hotspot dan mengambil tindakan segera termasuk membuat siasatan, membersihkan kawasan tersebut, memasang pita dan banner larangan membuang sampah secara haram.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat mengenai perkara itu kepada SWCorp bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku sekali gus menjaga imej negeri ini.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata jumlah sisa isi rumah yang dikutip syarikat konsesi dan dilupuskan di tapak pelupusan sejak awal Ramadan sehingga 30 Mac lepas adalah 5,437 tan di negeri tersebut. - Bernama