Antara diplomasi dan ketelusan

Iklan

DALAM tempoh seminggu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuat dua pengumuman besar berkait rapat dengan kepentingan negara. Pertama ialah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kedua, projek Bandar Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat dua elemen penting yang menjadi persoalan dalam kita menanggapi kedua-dua projek ini daripada perspektif politik iaitu ‘diplomasi’ dan ‘ketelusan’. Jika sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa projek ECRL akan diteruskan dengan kos RM44 bilion, baru-baru ini projek Bandar Malaysia pula diumumkan akan diteruskan dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan ECRL yang dihentikan oleh kerajaan PH selepas menang PRU14 tahun lalu, projek Bandar Malaysia pula dihentikan secara tiba-tiba oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2017.

Berbeza dengan ECRL yang dirundingkan semula pada harga lebih rendah, projek Bandar Malaysia sebaliknya diteruskan tanpa sebarang pengurangan kos.

Iklan

Malah, kerajaan PH juga mengembalikan semula projek Bandar Malaysia kepada Iskandar Waterfront Holdings-China Railway Engineering Corp (IWH-CREC Sdn Bhd), sebuah konsortium Malaysia-China, yang merupakan pemaju induk asal bagi projek itu untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan.

Seperti mana menurut Tun Dr Mahathir, konsortium IWH-CREC yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia ketika era BN itu sebenarnya ialah sebuah syarikat yang majoritinya dikuasai Malaysia yang memegang 40 peratus, manakala syarikat China 24 peratus dan baki selebihnya milik syarikat-syarikat asing.

Iklan

Namun begitu, Dr Mahathir tidak menjelaskan mengenai tiga perkara yang kini menjadi perbualan rakyat jelata: Mengapa projek Bandar Malaysia ini tidak ditawarkan secara tender terbuka seperti mana prinsip ‘reformasi’ yang dijunjung Pakatan Harapan?

Mengapa ia diberikan secara terus kepada IWH-CREC? Adakah ia berkait rapat dengan ‘jasa’ Tan Sri Lim Kang Hoo (taikun di sebalik IWH-CREC) yang ‘menyelamatkan’ syarikat roti dan bakeri berkaitan Dr Mahathir iaitu ‘The Loaf’ yang telah diisytiharkan bankrap dahulu?

Tersebarnya foto-foto yang menunjukkan pertemuan Kang Hoo dengan Dr Mahathir berserta penerangan kronologi beliau menyelamatkan syarikat The Loaf yang muflis pada 2018 menghangatkan spekulasi sedemikian.

Begitu juga foto pertemuan Kang Hoo dengan tiga pemimpin DAP iaitu Lim Lip Eng (Ahli Parlimen Kepong), Hew Kuan Yau (CEO Dewan Perniagaan Malaysia-China) dan Tan Kok Wai (Duta Khas Malaysia ke China) menguatkan lagi spekulasi dan persoalan ketelusan serta kemungkinan kronisme dalam kerajaan hari ini.

Tidak cukup dengan ‘pendedahan’ kedua-dua foto ini, satu lagi projek yang diteruskan iaitu ECRL turut diiringi satu lagi pendedahan – Raja Petra Kamaruddin melalui artikel bertajuk The Secret Behind the ECRL Discount Which Daim Did Not Tell Us membocorkan ‘dokumen-dokumen sulit’ yang menunjukkan bahawa kerajaan ‘menyerahkan’ tanah seluas 4,500 ekar (3,000 ekar di Pantai Timur dan 1,500 ekar di Pantai Barat) kepada pemaju China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Memang benar, sebagai sebuah kerajaan, Dr Mahathir dan para pemimpin PH hari ini tidak dapat tidak berhadapan dengan dilema antara ‘ketelusan’ dan ‘diplomasi’.

Jika ‘ketelusan’ dalam konteks ini adalah berkait dengan keperluan untuk kerajaan mendedahkan perincian projek dan perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam kepada seluruh rakyat, hubungan diplomatik dengan pihak asing yang terlibat secara langsung dalam projek berkenaan juga perlu diimbangi.

Dalam kedua-dua projek gergasi ini, pemegang taruhnya bukan hanya rakyat Malaysia selaku pembayar cukai, sebaliknya pihak-pihak berkepentingan China – sebuah kuasa besar yang saban hari meluaskan cengkaman geopolitik dan geoekonomi mereka. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan terputus, tepung jangan berselerak.

Kerajaan PH perlu bijak mengimbangi antara kedua-dua perkara ini; dalam pada kita berusaha untuk memanfaatkan ECRL dan Bandar Malaysia bagi hubungan dua hala jangka panjang Malaysia-China, janganlah pula hak rakyat untuk mendapat maklumat yang komprehensif diabaikan.

Berhadapanlah dengan rakyat, jawablah segala spekulasi dengan tuntas. Tidak perlu bersembunyi jika tiada apa yang hendak disembunyikan.

* Abdul Muein Abadi ialah pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia