'Kaki ponteng' puasa lari tinggalkan air ketum, rokok

Iklan
Beberapa individu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa dalam Ops Ramadan di sekitar Padang Terap pada Selasa.

PADANG TERAP - Beberapa individu yang sedang lepak di pondok rehat berhampiran chalet terbengkalai di Kuala Nerang di sini bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa dalam Ops Ramadan pada Selasa.

Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub berkata, mereka bertempiaran lari sebaik melihat van putih menghampiri pondok itu kerana bimbang dicekup pihak berkuasa dalam operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Padang Terap.

Iklan
Iklan

Ahmad Muzzamil berkata, hasil pemeriksaan menemui beberapa botol air ketum ditinggalkan kaki ponteng puasa di pondok rehat itu.

"Ketika pemantauan dilakukan lapan anggota diketuai Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.

Iklan

"Kita melakukan pemantauan di banyak tempat sekitar Padang Terap selain pondok rehat itu dan mendapati lebih kurang 13 individu yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa," katanya pada Rabu.

Beliau memaklumkan, pihaknya turut mengesan taktik lain digunakan golongan kaki ponteng puasa ini termasuklah mereka sanggup membeli makanan di kedai bukan Muslim.

Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Padang Terap mendapati ada individu tidak berpuasa membeli makanan diletakkan di kedai runcit di sekitar Padang Terap pada Selasa.

Iklan

Menurut Ahmad Muzzamil, pihaknya mendapati ada beberapa pelanggan membeli bungkusan nasi dipercayai diletakkan oleh peniaga Islam di kedai bukan Islam dan kedai runcit.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memberi amaran kepada individu terlibat kerana perbuatan itu dikhuatiri mencemarkan imej Islam.

Menurutnya, tindakan juga boleh diambil kepada individu yang makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau memberitahu, mana-mana individu dikesan tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan,minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) enakmen sama.

Jelasnya, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi kedua-kedua kesalahan itu.

Beliau berharap masyarakat Islam terutamanya dalam daerah Padang Terap mengesan perkara itu mengemukakan aduan melalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut.