KUALA LUMPUR - Tiga lelaki termasuk dua pekerja keselamatan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kren di Jalan Syed Putra di sini pada Ahad.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, K Segar berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Proton Saga melanggar belakang sebuah kren yang diletakkan di bahu jalan.
"Seorang pemandu lelaki didapati tersepit dalam kereta, manakala dua pekerja keselamatan yang menjaga kren turut cedera akibat dilanggar kereta terbabit.
"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit, namun mangsa disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, dua pekerja keselamatan yang menjaga kren dan didapati cedera kemudian turut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans.
"Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.