Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus menurun

Iklan
Penduduk setempat menggunakan sampan untuk meredah banjir ketika tinjauan di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus menyaksikan penurunan kepada 43,198 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 45,302 orang petang tadi.

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir menurun kepada 42,770 orang setakat jam 8 malam berbanding 44,779 orang pada jam 2 petang tadi.

Iklan
Iklan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 12,159 keluarga masih ditempatkan di 154 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

"Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 39,800 orang daripada 11,182 keluarga diikuti Muar (1,532 orang, 457 keluarga), Tangkak (1,037 orang, 412 keluarga) dan Segamat (401 orang, 108 keluarga)," menurut JPBN.

Iklan

Sebanyak enam sungai masih melepasi aras bahaya antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok, Batu Pahat pada paras 19.63 meter (m), Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (4.14m) dan Sungai Senggarang di Batu Pahat (3.57m).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin malam ini sedikit menurun kepada 169 orang yang ditempatkan di dua PPS berbanding 170 orang petang tadi.

Iklan

Di MELAKA, jumlah mangsa di Jasin berkurangan kepada 259 orang daripada 61 keluarga setakat jam 8 malam berbanding 353 orang daripada 90 keluarga pada jam 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat menempatkan 13 mangsa, SK Parit Penghulu (104), SK Parit Gantong (19), SK Batu Gajah (112) dan SK Sungai Rambai (11). - Bernama