Sanjungi guru, adiwira sebenar kita

Iklan

DALAM salah satu catatan Facebooknya, Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, memuji pengorbanan Cikgu Mohd Zakuan yang walaupun dalam keadaan sakit dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh telah berusaha juga membuat sesi pembelajaran untuk anak didiknya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun lepas.

Guru sememangnya adiwira yang sebenar.

Iklan
Iklan

Cikgu Zakuan yang tiba-tiba jatuh sakit disyaki mempunyai masalah di bahagian saraf tunjang dan perlu dirawat di hospital ketika anak-anak muridnya sedang menghadapi peperiksaan SPM dan memerlukan bimbingan.

Dalam keadaan sakit, beliau menyampaikan kuliah kepada pelajarnya daripada dua kelas yang telah melawatnya secara bergilir.

Iklan

Dr Maszlee menyifatkan guru sebagai adiwira sebenar kerana melakukan pekerjaan yang kadangkala menjadi lebih sukar kerana terdedah kepada pelbagai cabaran yang jauh lebih luas daripada skop tugasan mereka, selain merupakan individu yang dekat di hati pelajar, ibu bapa dan masyarakat.

Ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil awal tahun ini, beliau juga menggalakkan guru-guru melakukan program Ziarah Cakna untuk memperkukuhkan hubungan antara guru dengan ibu bapa.

Iklan

Menurut Dr Maszlee, inisiatif itu membantu guru mendalami tingkah laku murid selain membuka ruang bagi mereka untuk merasai denyut kehidupan murid di rumah dan menilai bantuan yang sewajarnya bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan murid terbabit.

Sebagai seorang pendidik, sememangnya Dr Maszlee dapat menjiwai perjuangan guru.

Banyak sekolah yang sememangnya telah melakukan aktiviti ziarah, cuma mungkin tidak diperluaskan lagi serta tiada publisiti.

SMK Kubang Kerian (SMKKK) adalah salah satu daripadanya. Saya tahu perkara ini melalui penglibatan saya sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah tersebut.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMKKK mempunyai data berkenaan pelajar miskin dan susah. Data ini turut dibentangkan dalam mesyuarat PIBG.

Terdapat kes tidak hadir ke sekolah bukan kerana ponteng tetapi pelajar mempunyai masalah pengangkutan akibat kemiskinan tegar, ataupun terpaksa menjaga ibu atau bapa yang sakit.

Semua ini diketahui apabila pihak sekolah menziarahi kediaman pelajar terbabit.

Yang Dipertua PIBG SMKKK, Prof Madya Dr Mohamed Saat Ismail, turut cakna untuk bersama-sama melakukan ziarah. Sebahagian besar daripada kutipan yuran PIBG juga akan digunakan untuk membantu murid-murid ini.

Pengetua SMKKK, Norsilawati Yusof, juga amat mengambil berat tentang kebajikan para pelajar di sekolah tersebut. Beliau malah dapat menyebut satu per satu nama pelajar, terutama pelajar tingkatan lima.

Ini sangat mengagumkan bagi saya. SMKKK mempunyai 1,200 pelajar; Pengetuanya bukan sahaja mampu mengingat nama dan pencapaian akademik mereka tetapi juga latar belakang keluarga dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa anak-anak murid tersebut begitu dekat di hati beliau.

Ketika pertemuan dengannya baru-baru ini, Norsilawati berkongsi cerita tentang Haidar (bukan nama sebenar), pelajar kelas 5K1, seorang anak yatim tiga beradik yang tinggal bersama ibunya yang bekerja sebagai seorang pencuci di pejabat pos.

Haidar, seorang pelajar yang sederhana, telah menunjukkan peningkatan pencapaian akademik yang baik. Bermula dengan hanya satu atau dua A dalam setiap peperiksaan sejak tingkatan satu, Haidar kini mendapat A dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris.

Norsilawati kemudiannya menceritakan satu per satu pelajar dalam kelas tersebut dan kelas seterusnya. Saya kagum kerana bukan senang untuk menjadi seorang pendidik dan pentadbir dan mampu melakukan semua itu.

Setiap bulan, guru-guru di SMKKK turut mendermakan sebahagian daripada gaji mereka bagi membantu pelajar yang miskin agar mereka dapat makan di kantin sekolah, memakai baju sekolah yang baharu serta membeli segala kelengkapan sekolah.

Usaha guru-guru ini bukannya untuk mengharapkan pujian. Mereka ikhlas untuk melihat anak didik berjaya. Saya percaya sekolah-sekolah lain juga turut mempunyai guru sebegini.

Saya berharap anak-anak zaman kini yang masih bergelar pelajar terutamanya, sedar bahawa guru sewajarnya menjadi adiwira mereka, bukannya artis atau sesiapa sahaja yang tiada keinginan sebenar untuk melihat mereka berjaya.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan